Bukan Berita Online Biasa

Rakan-rakan pelajar Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jordan, memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarhamah sebelum disolatkan di Masjid Al-Bukhary semalam dan dibawa pulang ke kampung halamannya di Lenggong, Perak untuk disemadikan. - Foto BERNAMA

Jenazah Ketiga Pelajar Maut Nahas Di Jordan Selamat Dikebumi

in Terkini

LENGGONG – Jenazah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, seorang daripada tiga pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jordan Sabtu lepas selamat dikebumikan awal pagi ini.

Jenazah Fatin Iqmal Idziyani tiba di Kampung Banggol Batu di sini kira-kira pukul 12 tengah malam sebelum disembahyangkan di Masjid Ehsaniah dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Lubuk Kawah pada pukul 1.05 pagi Khamis.

Kira-kira 200 penduduk kampung termasuk Anggota Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah sama-sama menyambut jenazah dan bersolat jenazah.

Ibu Fatin Iqmal Idziyani, Rapidah Mat Rani yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Jordan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana menguruskan jenazah anak sulungnya itu.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Che Aziz Che Mahmood, 49, yang sudah 10 tahun tidak berjumpa dengan anak itu selepas berpisah dengan Rapidah pasrah atas ketentuan Illahi.


Nenek kepada Allahyarhamah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, Timah Hussin, 80, sebak membaca berita mengenai kematian cucunya dalam akhbar tempatan di rumahnya di Kampung Bonggol Batu, Lenggong, Rabu malam. Allahyarhamah adalah pelajar Universiti Mu'tah, Jordan yang maut kemalangan jalan raya di Mafraq, Sabtu lepas. - Foto BERNAMA
Nenek kepada Allahyarhamah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, Timah Hussin, 80, sebak membaca berita mengenai kematian cucunya dalam akhbar tempatan di rumahnya di Kampung Bonggol Batu, Lenggong, Rabu malam. Allahyarhamah adalah pelajar Universiti Mu’tah, Jordan yang maut kemalangan jalan raya di Mafraq, Sabtu lepas. – Foto BERNAMA

Nenek Allahyarham, Timah Hussin, 80, pula redha dengan nasib yang menimpa cucu yang dijaganya sejak kecil hingga tahun enam.

Sementara itu bapa saudara Fatin Iqmal Idziyani, Aidil Mat Rani 41, memberitahu kali terakhir Fatin Iqmal Idziyani pulang ke Lenggong adalah Oktober tahun lepas untuk bercuti dan menziarahi nenek serta keluarga.

Terdahulu, jenazah Fatin Iqmal Idziyani, Al Najiatun Nailah Mohd Safie dan Hana’ Azhar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 4.25 petang Rabu dengan penerbangan Royal Jordanian RJ185.

Jenazah Al Najiatun Nailah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang, Tumpat manakala Hana’ dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Bok, Machang.

Ketiga-tiga pelajar tahun tiga Universiti Mu’tah, Jordan itu maut dalam kemalangan jalan raya di Ashrafiyeh, wilayah Mafraq ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu program keagamaan. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]Ylzp_mqehSA[/wpdevart_youtube]

Terkini dari Terkini

Go to Top