Bukan Berita Online Biasa

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (kanan) bersama Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman memegang surat perjanjian penajaan pasukan bola sepak Kelantan di Medan Mara hari ini. - Foto BERNAMA

KAFA Bayar Gaji Tertunggak Pemain Secara Berperingkat

in Terkini

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berjanji akan melunaskan gaji pemain yang masih tertunggak secara berperingkat.

Beliau berkata KAFA tidak dapat membayar gaji pemain secara penuh kerana ia akan mengakibatkan aliran kewangan persatuan itu, selepas dibelenggu krisis kewangan sepanjang 2015.

“Musim 2015, kita defisit dengan jumlah yang agak besar…dari segi KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), pemain, cukai dan jurulatih. Selepas mendapat penajaan yang agak selesa, kita beri keutamaan kepada bayaran gaji.

“Kita akan hantar satu surat jadual pembayaran kepada pemain dan mereka yang ada tunggakan, kita akan bayar secara berperingkat supaya aliran tunai kita tidak terjejas…tumpuan utama akan diberi kepada penyediaan pasukan,” katanya pada sidang media selepas menandatangani kontrak penajaan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima peruntukan berjumlah RM16 juta daripada pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, yang lebih dikenali sebagai Dr Vida, selaku penaja utama pasukan Kelantan menghadapi Liga Malaysia 2016.


Beliau, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah keseluruhan penajaan yang diterima KAFA musim ini, kerana pihaknya masih dalam proses rundingan.

Dalam pada itu, Annuar meminta pemain menampilkan komitmen tinggi agar pasukan Kelantan yang bakal dikenali juga sebagai ‘Pamoga Qu Puteh The Red Warriors’ musim ini, dapat memenangi setiap perlawanan dalam Liga Malaysia.

“Musim lepas merupakan peringatan kepada KAFA untuk mengharungi cabaran Liga Malaysia yang melihatkan perubahan landskap sehingga kita menduduki tangga terbawah. Kita mesti melakukan perubahan untuk kekal kompetetif,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata tajaan daripada Dr Vida itu tidak akan dimasukkan ke dalam akaun utama KAFA, tetapi akan disalurkan ke akaun kedua yang akan diuruskan oleh sebuah jawatankuasa terdiri daripada tujuh anggota.

Mereka adalah Bendahari KAFA, Nik Aminaldin Jaafar; Dr Vida yang merupakan Penasihat Kehormat KAFA, selain dua penasihat lain, iaitu Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Datuk Abdul Fattah Mahmood serta tiga wakil daripada kelab penyokong Kelantan.

“Datuk Seri Vida mempunyai idea-idea bagus yang menjadi suntikan semangat untuk KAFA. Saya melihat syarat-syarat beliau dari sudut positif, di mana ia berjaya mencipta situasi baru dalam bola sepak tanah air.

“Beliau bukan menjadi penaja sahaja, beliau turut mahu membangunkan infrastruktur dan peringkat akar umbi (bola sepak Kelantan),” katanya. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]Drsw8PSZMoM[/wpdevart_youtube]

Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top