Bukan Berita Online Biasa

Jangka Durian Dieksport Ke China Tempoh Setahun

in Terkini

SERDANGv- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangka buah durian Malaysia akan dapat dieksport terus ke China dalam masa setahun ke dua tahun akan datang.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata melalui kerjasama yang terjalin antara kementerian dan Kerajaan Wilayah Autonomi Guanxi Zhuang, satu program mempromosi ‘Raja Buah’ itu dikenali sebagai ‘Festival Durian, Road To Nanning’, akan diadakan pada 20 hingga 22 Oktober di Nanning.

Program itu akan menjadi platform penting untuk pengusaha tempatan mempromosikan keistimewaan buah berkenaan, katanya.

“Kita telah mendapat kelulusan khas dari pihak berkuasa di sana untuk mengeskport buah durian bagi penganjuran festival kali ini dan ia merupakan penganjuran kali pertama seumpamanya di China, ” katanya kepada media selepas program Bengkel Festival Durian 2017, Road To Nanning di sini hari ini.

Jelasnya, selepas ini, kerajaan Malaysia menerusi kementeriannya akan berusaha untuk mendapatkan protokol dan perjanjian dengan kerajaan China untuk terus membawa masuk buah durian ke negara tersebut tanpa perlu diproses terlebih dahulu.

“Buat masa ini Malaysia hanya dibenarkan mengeskport durian yang diproses atau yang telah disejuk beku ke China ataupun durian kita perlu melalui jalan ketiga iaitu melalui Hong Kong atau Thailand untuk masuk ke negara itu, ” katanya.

Bagi program tersebut, Ahmad Shabery berkata selain dua kontena buah durian yang akan dibawa ke Nanning, lebih 200 produk berasaskan durian seperti kopi durian, aiskrim durian, pancake durian akan turut dipamerkan di festival berkenaan.

Beliau berkata festival ini penting untuk Malaysia kerana akan membuka ruang pasaran yang lebih besar kepada pengusaha industri durian tempatan untuk meneroka peluang-peluang perniagaan di China yang berpotensi untuk menawarkan harga buah durian yang lebih tinggi. -BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top