Kementerian Pertahanan Diminta Jadi Kelompok Akrab

Kementerian Pertahanan Diminta Jadi Kelompok Akrab

in Terkini

TAIPING – Kakitangan awam yang bertugas dengan Kementerian Pertahanan diminta menjadi satu kelompok yang lebih akrab dan saling mengenali antara satu sama lain bagi membolehkan tugas dilaksanakan dengan berkesan.

Panglima 2 Infantri Brig Jeneral Datuk Nizam Mohd Jaafar berkata ini akan membolehkan kakitangan awam dapat memahami tugas dan tanggungjawab mereka tanpa syak wasangka.

Beliau berkata ramai kakitangan awam berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi mereka masih samar-samar mengenai tugas serta peranan yang boleh dikongsi bersama.

“Saya memaklumkan kepada kakitangan awam bahawa moto saya apabila kita bertugas sebumbung kita hendaklah bersama-sama dapat memahami tugas senada antara satu sama lain,” katanya ketika berucap pada majlis Ramah Mesra dan sambutan Hari Raya bersama kakitangan awam Kementerian Pertahanan di Markas Staf Stesen Taiping di sini, hari ini.

Kira-kira 300 kakitangan awam dan pegawai tentera menghadiri majlis berkenaan.

Tambahnya kakitangan awam sebagai tulang belakang hendaklah bekerja dalam satu ketumbukan yang memerlukan sesuatu tindakan itu dengan cepat dan ini perlu dibuktikan sebagai satu keluarga. – BERNAMA

Loading...