Bukan Berita Online Biasa

Kim Swee Positif, Waspada Ancaman Thailand, Indonesia

in Sukan/Terkini

SEPANG – Ketua jurulatih skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee tetap berwaspada terhadap Thailand dan Indonesia yang turut menghuni Kumpulan H bersama Malaysia dan Mongolia dalam Pusingan Kelayakan Piala AFC B-23 di Bangkok, Thailand bermula 19 hingga 23 Julai ini.

Beliau mengakui dua pasukan berkenaan bukan lawan yang mudah untuk ditewaskan, namun tetap meletakkan harapan yang skuad kendaliannya mampu melakar kejutan pada saingan kali ini.

“Kita akan fokus satu demi satu perlawanan. Bagaimanapun, penentu peluang kita ialah semasa bertemu Indonesia dan Thailand…sama ada kita boleh menewaskan pasukan itu atau tidak.

Saya tidak boleh nafikan Thailand merupakan pasukan yang kuat, namun dalam peringkat ini, saya pasti persaingan itu sangat rapat di antara semua pasukan yang bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Mengikut jadual, Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan H dengan bertemu Indonesia pada Rabu ini diikuti Thailand pada 21 Julai dan Mongolia (23 Julai).

Dalam pada itu, Kim Swee tetap yakin skuad kendaliannya mampu mempamerkan aksi terbaik pada saingan kali ini walaupun tanpa enam tonggak utama yang gagal mendapat pelepasan daripada pasukan negeri masing-masing.

Enam tonggak berkenaan adalah Matthew Davies dan Mohd Nor Azam Azih (Pahang); S. Kumaahran dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang); serta Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim).

“Saya cuma akan perbaiki kelemahan di barisan tengah di mana sewaktu beraksi dengan Myanmar kita dapat lihat pergerakan bola tidak begitu lancar di bahagian itu dan itu menyukarkan penyerang kita untuk menghasilkan sesuatu,” tegas Kim Swee.

Sementara itu, penyerang negara, Muhd Jafri Firdaus Muhd Chew menjelaskan walaupun skuad negara dilihat sedikit kekurangan tanpa kehadiran enam pemain berkenaan, beliau yakin 22 pemain yang dibawa ke Bangkok masih mampu memberikan aksi terbaik.

“Persiapan kami untuk menghadapi pusingan kelayakan ini ada sedikit kekurangan dari segi masa dan bilangan pemain yang mempunyai tugasan dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana. Bagi diri saya sendiri, saya bertekad untuk memberikan aksi yang terbaik.

Perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Myanmar pada 13 Julai lepas bukan persembahan terbaik saya kerana saya agak kelam-kabut di depan pintu gol. Di Bangkok, saya akan cuba untuk lebih bertenang dan memanfaatkan peluang yang saya miliki,” kata anak jati Pulau Pinang itu.

Malaysia berpeluang untuk layak ke pusingan akhir kejohanan di China pada 2018 sekiranya menjadi juara kumpulan atau muncul lima pasukan kedua terbaik daripada lapan kumpulan. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Sukan

Go to Top