Agropreneur Muda Disaran Teroka E-Dagang

in Terkini

MELAKA – Lebih ramai usahawan bidang pertanian atau agropreneur terutamanya daripada kalangan generasi muda disaran meneroka pelbagai peluang melalui bidang E-Dagang dalam usaha meluaskan pasaran dan penjualan produk mereka.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Abd Rahman berkata pada masa ini pemasaran dalam talian melalui E-Dagang telah menguasai sebahagian besar daripada corak pemasaran produk, justeru agropreneur perlu mengambil peluang sepenuhnya dalam bidang itu.

Beliau berkata agropreneur juga perlu memanafaatkan sepenuhnya peluang daripada langkah agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang mengorak langkah membawa usahawan di bawah naungan mereka untuk menerokai E-Dagang.

“Saya lihat kita di negara ini sudah hampir ke era perniagaan digital sepenuhnya, agropreneur jangan ketinggalan, E-Dagang ini mampu hasilkan sebuah perniagaan yang berinovasi tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Facebook E-Commerce Masterclass dan Technofest Universiti Kuala Lumpur (UniKL) anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata Kerajaan Negeri Melaka akan berbincang dengan Mara dan UniKL bagi menghasilkan pelbagai produk inovasi daripada hasil pertanian di negeri ini.

“Kerajaan negeri bercadang untuk menandatangani perjanjian persefahaman dengan Mara dan UniKL bagi usaha ini, antaranya bahan seperti kulit pisang selalunya jadi buangan pertanian tetapi bagaimana kita hendak jadikan ia makanan seperti biskut dan bahan pembersih seperti ubat gigi,” katanya. – BERNAMA

Loading...