Bukan Berita Online Biasa

Remaja Lemas

Lelaki Kurang Siuman Dikhuatiri Lemas

in Terkini

TEMERLOH – Seorang lelaki dipercayai kurang siuman dikhuatiri lemas selepas dikatakan bertindak terjun daripada Jambatan Sultan Ahmad Shah di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira 4.30 petang itu disedari seorang pemandu kereta yang melalui jambatan berkenaan, dan melihat mangsa memanjat pagar besi jambatan dan terjun ke dalam Sungai Pahang pada jarak ketinggian lebih kurang 30 meter.

Saksi Zulkifli Jaafar, 45, berkata ketika memandu dari arah Temerloh menghala ke Seberang Temerloh, dia melihat seorang lelaki berbaju Melayu merah jambu dan berseluar jeans berjalan di lorong motosikal atas jambatan itu.

“Apabila sampai di tengah jambatan, lelaki itu memanjat pagar besi jambatan dan terus terjun.
Saya suruh anak saya telefon bomba dan kemudian buat laporan polis mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat operasi mencari dan menyelamat di Jambatan Putus dekat Restoran Gobang Maju di sini, hari ini.

Sementara itu Wahid Kadir, 84, percaya lelaki yang terjun daripada jambatan itu semalam adalah anak lelakinya Othman Wahid, 44, berdasarkan pakaian yang dipakai semasa kejadian.

Beliau berkata kali terakhir anak sulung dari 11 beradik itu berada di rumah di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau di sini, adalah pada Sabtu lalu selepas dia membeli seluar jeans untuk hari raya.

“Dia memang kurang sihat (mental) sejak muda, saya pun tak tahu apa puncanya. Sebelum ini dia sihat tapi sejak kurang siuman dia kerap keluar ke kawasan bandar Temerloh dan Kuala Krau.

“Biasanya kalau bosan di rumah dia akan keluar ke bandar, kadang-kadang sampai dua tiga minggu tak balik, kami dah biasa dengan perangai dia,..tetapi dia tak pernah cuba nak buat macam ini (terjun daripada jambatan).

“Walaupun belum pasti itu anak saya, berdasarkan pakaian yang dipakai dan naluri saya mengatakan yang lemas itu adalah dia,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Hashnuddin Hussain berkata 28 pegawai dan anggota bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis bersama lima bot terlibat dalam operasi itu bermula 5 petang semalam.

“Operasi mencari sudah merangkumi kawasan sehingga 20 kilometer ke hilir Sungai Pahang dekat Bera Waterfront dan petang ini kita juga akan dibantu unit skuba seramai lapan anggota dari Balai Temerloh,” katanya.

– BERNAMA

Loading...
Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top