Mahkamah

Tambah Hukuman Rohingya Lindungi Pendatang

in Jenayah/Terkini

PUTRAJAYA – Seorang lelaki pelarian Rohingya​ terpaksa kembali semula ke penjara selepas Mahkamah Rayuan menambah hukuman penjaranya daripada tiga tahun kepada lima tahun atas kesalahan melindungi 20 pendatang Bangladesh dan Myanmar yang diseludup ke negara ini.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap Mohd Hussein Mohd Kassim.

“Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar secara nyata tidak mencukupi…rayuan pihak pendakwaan dibenarkan,”kara Mohtarudin yang mempengerusikan sidang panel itu.

Beliau memerintahkan Mohd Hussein, 30, seorang pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), menjalani hukuman itu daripada tarikh dia ditangkap pada 2 Julai 2015.

Selepas dibebaskan dari penjara pada 2 Julai tahun ini selepas menjalani hukuman penjara tiga tahun, dia ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik, Kedah, sementara menunggu rayuan pihak pendakwaan.

Sementara itu, hakim Zakaria berkata sebagai seorang pelarian sendiri, Mohd Hussein harus bersyukur kerana Malaysia telah memberi perlindungan kepadanya tetapi sebaliknya dia terbabit dengan sindiket penyeludupan manusia.

Dia mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Alor Setar atas tuduhan melindungi 20 pendatang Bangladesh dan Myanmar berusia antara 18 hingga 54 tahun di Lot 84, Jalan Titi Haji Idris, Kampung Alor Sentap, Pokok Sena, Kedah pada jam 4.44 pagi, 2 Julai 2015.

Pada 15 Sept lepas, Mahkamah Rayuan turut menambah hukuman penjara daripada tiga tahun kepada lima tahun terhadap rakannya, Muhammad Yunus, 32, atas kesalahan sama.

Timbalan Pendakya Raya, Anas Bashari bertindak bagi pihak pendakwaan manakala Mohd Hussein diwakili peguam Rafidi Mohamad. – BERNAMA

Loading...