Bukan Berita Online Biasa

NAZA TTDI Labur RM20 Juta Ke Atas Taman Metropolis KL

NAZA TTDI Labur RM20 Juta Ke Atas Taman Metropolis KL

in Terkini

KUALA LUMPUR – Naza TTDI Sdn Bhd (Naza) akan melabur RM20 juta bagi menguruskan 2.023 hektar Taman Metropolis KL untuk tempoh 15 tahun di bawah program anak angkat tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Program CSR itu melibatkan kerjasama antara Naza dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada program KL Lebih Hijau kerajaan di bawah inisiatif Greater KL/Lembah Klang.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Taman Metropolis KL hari ini, Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, taman tersebut adalah sokongan proaktif Naza TTDI untuk inisiatif KL Lebih Hijau.

“Taman bandar yang dijangka siap pada suku pertama 2018 ini akan menjadi kawasan hijau Metropolis KL,” katanya dengan menambah, taman itu juga akan menyediakan pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan kesihatan awam, alam sekitar serta komuniti.

Taman itu adalah komponen pertama Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia dan sebahagian daripada projek mega Metropolis KL yang dilancar pada 2011.

Metropolis KL dibahagikan kepada lapan presint iaitu Met 1, Met 2, Met 3, Met 5, Met 6, Met 7, Met 8 dan Met 9.

SM Faliq berkata, syarikat itu akan menanam kira-kira 500 pokok dan 10 spesies berbeza pokok bunga di taman seluas 10,800 hektar tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan MET 1, yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM1 bilion dan dilancar awal tahun ini, SM Faliq berkata, maklum balas untuk unit kediaman sangat menggalakan.

“Kami menjangka 90 peratus daripada 616 unit akan dijual menjelang akhir tahun.

“Kami sedang berbincang dengan pelabur bagi pembinaan menara pejabat dan berharap untuk memuktamadkan perjanjian pada tahun ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top