Nilai Jualan Borong, Runcit Naik Kepada 97.7 Bilion

in Terkini

KUALA LUMPUR – Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat sebanyak 9.8 peratus kepada RM97.7 bilion pada Ogos 2017 berbanding tempoh sama pada 2016.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata nilai jualan perdagangan borong adalah RM47.4 bilion, jualan runcit (RM38.0 bilion) dan kenderaan bermotor (RM12.3 billion).

Menurutnya, pertumbuhan positif itu disumbangkan oleh perdagangan runcit (13.4 peratus).

Indeks volum perdagangan borong dan runcit meningkat 7.9 peratus kepada 158.3 mata pada Ogos 2017 berbanding bulan Ogos 2016, disokong oleh peningkatan perdagangan runcit.

“Perdagangan runcit meningkat sebanyak 11.9 peratus manakala indeks volum pelarasan bermusim perdagangan borong dan runcit meningkat 1.2 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Indeks volum perdagangan borong meningkat 6.2 peratus kepada 169.4 mata pada Ogos 2017 berbanding Ogos 2016.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks volum ini (pelarasan bermusim) meningkat sebanyak 3.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Menurut jabatan itu, bagi perniagaan perdagangan runcit pula, indeks volum meningkat 11.9 peratus kepada 158.8 mata pada Ogos 2017 berbanding tempoh sama sebelumnya manakala indeks volum pelarasan bermusim perdagangan itu mencatat penyusutan 1.1 peratus berbanding Julai 2017.

“Perniagaan perdagangan runcit mencatatkan peningkatan nilai jualan kepada RM38.0 atau 13.4 peratus berbanding 2016 manakala bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor itu merekodkan pertumbuhan negatif 0.7 peratus,” katanya.

Selain itu, indeks volum kenderaan bermotor meningkat 1.4 peratus kepada 128.7 mata pada Ogos 2017 berbanding bulan sama tahun lepas, kata jabatan itu.

“Indeks volum pelarasan bermusim kenderaan bermotor meningkat sebanyak 1.8 peratus pada Ogos 2017 berbanding Julai 2017.

“Sektor kenderaan bermotor meningkat 2.8 peratus kepada RM12.3 bilion pada Ogos 2017 berbanding bulan sama sebelumnya,” katanya.

Nilai jualan perniagaan kenderaan bermotor pula susut 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya. – BERNAMA

Loading...