Bukan Berita Online Biasa

(Gambar fail) Pegawai Jabatan Perikanan Pahang, Musa Arifin mengambil kerang untuk dijadikan contoh kajian selepas kerang yang tiba-tiba menjadi banyak di pantai sekitar Rompin ketika tinjauan fotoBernama di Kampung Mempisang . - Foto BERNAMA

Pakar Nafi Ribuan Kerang Di Pantai Petanda Tsunami

in Terkini

KUANTAN – Fenomena ribuan kerang terdampar di Pantai Mempisang, Tanjung Gemuk, Rompin dan Pantai Sura, Dungun, Terengganu minggu ini tiada kaitan dengan tsunami seperti tanggapan sesetengah pihak.

Menurut Dekan Fakulti Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar, kejadian itu sebaliknya berkait rapat dengan ombak besar dan kejadian hakisan pantai.

“Dis tahun lepas di Pantai Mempisang juga dilaporkan tentang kejadian kepah naik ke pantai dan ketika itu berlaku ombak besar bersama hujan lebat.

“Begitu juga kejadian yang sama pada tahun ini di Pantai Sura dan Pantai Mempisang, ia berkait dengan faktor angin monsun yang kuat berserta ombak besar ditambah dengan hakisan pantai.

“Ia menyebabkan spesies kerang berbulu ini yang hidup berhampiran pantai bercampur sedikit lumpur terdampar ke pantai disebabkan arus pengangkut yang kuat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya spesies kerang berbulu, nama saintifiknya Anadara Spilula, adalah hidupan biasa yang boleh didapati berhampiran pantai dan turut mempunyai kaitan dengan spesies kerang lain seperti Anadara Granosa, Anadara Indica dan Anadara Inequiualuis.

“Jika hendak dikaitkan dengan petanda tsunami seperti yang berlaku di Pulau Pinang pada Dis 2004, ia berbeza kerana kebiasaannya sejam sebelum kejadian itu air laut akan surut luar biasa menyebabkan banyak spesies ikan laut terdampar di pantai,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita yang tidak tepat berhubung fenomena tersebut. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]dOzTYBe0_AQ[/wpdevart_youtube]

Terkini dari Terkini

Go to Top