Bukan Berita Online Biasa

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

PDRM Tahan Anggota Daesh Rancang Serangan Bom

in Terkini

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga lelaki warga tempatan masing-masing di Perak, Selangor dan Melaka kerana disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh antara 8 hingga 10 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, salah seorang suspek berusia 21 tahun yang ditahan di Bagan Serai pada 8 September lalu mengaku pernah diajar oleh pakar bom Daesh untuk membuat peranti letupan atau Improvised Explosive Device (IED)

Menurut beliau, suspek yang merupakan penganggur itu juga mengaku menerima arahan daripada seorang anggota kanan Daesh di Syria untuk membeli pistol, Rifle M-16, Rifle AK-47 dan bom tangan dari negara jiran.

“Ia bagi melancarkan serangan ke atas bukan Islam dan tempat ibadat mereka di Malaysia. Turut dirampas dalam serbuan di rumah suspek adalah bahan-bahan kimia untuk menghasilkan IED.

“Suspek telah berbaiah dan menyertai Daesh sejak awal tahun ini. Dia mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan pengganas Al-Qaeda dan Abu Sayyaf,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, suspek kedua yang merupakan seorang penjual cendol berusia 38 tahun ditahan di Melaka pada 10 September lalu kerana didapati aktif mencetak dan mengedarkan bendera Daesh bagi mempromosikan kumpulan pengganas itu.

Kata beliau, suspek turut merancang untuk menyertai kumpulan Daesh di selatan Filipina dan kumpulan militan di Rakhine, Myanmar.

Tambah beliau, suspek ketiga berusia 41 tahun yang merupakan seorang pemandu bas ditahan di Petaling Jaya pada 10 September lalu kerana didapati merancang untuk menyertai Daesh di Syria pada akhir tahun ini.

“Ketiga-tiga individu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Bab Via – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Loading...
Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top