Bukan Berita Online Biasa

Kemalangan

Pemandu Maut Treler Terjunam Ke Tebing Di Lipis

in Terkini

KUANTAN – Seorang pemandu treler maut apabila kenderaan yang dipandunya terjunam ke tebing di Kilometer 40 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Aur Gading, Lipis dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azry Akmar Ayob berkata dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa B. Ramasamy, 37, dari Taman Tun Sambathan Sungai Siput, Perak meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan dada.

Beliau menambah kelindan lori, V. Krishnah Kumar, 24, dari Kampung Tersusun Simpang Jalang, Sungai Siput, Perak cedera retak tulang belakang dan tangan kanan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mereka baru selesai menghantar muatan kayu potong di kilang papan, Padang Tengku dan menghala ke Gua Musang, Kelantan.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa gagal mengawal kenderaannya menyebabkan treler itu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri dan terjunam ke tebing sebelum terbalik,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Azry Akmar menambah kemalangan menyebabkan Ramasamy tersepit di tempat duduk dan pihak polis mendapatkan pertolongan bomba untuk mengeluarkan mangsa.

Beliau berkata mangsa yang cedera dan mayat pemandu dihantar ke Hospital Lipis.

Beliau menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Loading...

Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top