Bukan Berita Online Biasa

Isu Tan Cheng Hoe

Persatuan Belia Perlu Aktif Jayakan Agenda TN50

in Terkini

ITRA – Persatuan belia perlu bergerak lebih aktif dan memainkan peranan sebagai ‘ejen kecil’ khususnya dalam menjayakan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Katanya, persatuan belia perlu membawa ahli mereka yang terdiri daripada anak muda berusia bawah 40 tahun agar lebih berani menyuarakan pendapat dan mencambahkan idea bernas melalui pelbagai program yang disusun atur sehingga ke peringkat akar umbi.

“Harapan saya untuk mendapatkan sesuatu pandangan atau kepimpinan belia di seluruh Kedah dapat kita satukan dan kita rumuskan sesuatu yang terbaik untuk kita bawa pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kepada Persatuan Belia Kedah bersempena program Dialog TN50 dan Agenda Anak Muda (Anak) di sini, malam tadi.

TN50, suatu gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.

Melalui Dialog TN50, ia mampu mengumpul suara orang muda yang akan menjadi asas kepada visi negara yang berkonsepkan gagasan dari bawah atau bottom up, bukannya arahan dari atas atau top down.

Kerajaan negeri sendiri, katanya, melalui program seperti Internsip Mahasiswa Anak Negeri (IMAN) memberi peluang kepada anak muda khususnya graduan untuk mendapat pendedahan secara praktikal mengenai pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Beberapa isu disuarakan oleh anak muda dalam dialog tersebut antaranya ada yang mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil berat isu dadah, memanfaatkan produk pelancongan di setiap daerah dan cadangan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik di bawah RM100,000.

Dalam program itu, Ahmad Bashah turut menyampaikan bantuan RM2,000 kepada 181 persatuan belia di negeri ini di bawah program Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) Anak Muda. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top