Bukan Berita Online Biasa

Heroin

Polis Rampas 32.21 Gram Heroin Dalam Beg Suspek

in Jenayah/Terkini

JEMPOL – Polis merampas dadah heroin seberat 32.21 gram dan menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Cacar Hilir, Bahau, dekat sini, semalam.

Dalam serbuan pukul 6 petang itu, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan sepasukan lapan anggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Noorzainy Mohd Noor berkata polis telah menangkap lelaki itu di belakang rumah berkenaan dan pemeriksaan terhadap beg selempang yang dibawanya, mendapati ia mengandungi 15 paket plastik lutsinar.

“Lelaki yang ditangkap juga merupakan penagih dadah dan saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah opiat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata siasatan awal mendapati suspek bergerak aktif sebagai pengedar dadah kecil-kecilan di sekitar Batu Kikir dan kawasan sekitar.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top