Polis

Polis Sabah Kenal Pasti 30 Kawasan Hitam

in Terkini

KOTA KINABALU – Polis Sabah mengenal pasti 30 kawasan hitam yang sering berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini untuk diberi tumpuan sepanjang Op Selamat ke-11, yang berkuat kuasa sejak semalam sehingga 2 Julai depan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah, SAC Ahmad Fadzillah Mohamed berkata 335 anggota daripada pelbagai cawangan akan bertugas sepanjang operasi berkenaan.

“Lokasi-lokasi dikenal pasti itu sering berlaku kemalangan jalan raya. Dengan menempatkan anggota trafik di lokasi berkenaan akan dapat mencapai matlamat kemalangan sifar di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat ke-11 peringkat Sabah di sini hari ini.

Justeru, Ahmad Fadzillah meminta orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika berada di jalan raya sepanjang operasi berkenaan bukan sahaja untuk mengelak terlibat dalam kemalangan, tetapi bagi memastikan mereka selamat sampai ke destinasi dituju.

Beliau berkata sepanjang operasi itu, polis bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang di jalan raya, tetapi juga keselamatan pengguna pengangkutan laut serta keselamatan premis atau rumah ditinggalkan penghuninya yang pulang beraya di kampung halaman masing-masing.

Ahmad Fadzillah juga menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya mengisi borang dan mengembalikannya ke balai polis berhampiran, agar rumah mereka dipantau dari semasa ke semasa sepanjang ketiadaan mereka.

“Melalui produk baharu kita, ‘Volunteer Smartphone Patrol (VSP)’, mereka yang mendaftar sebagai ahli boleh menyalurkan maklumat menerusi VSP dan kita akan tentukan supaya tindakan segera dapat diambil berdasarkan aduan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang berminat mendaftar sebagai ahli VSP boleh memuat turun aplikasi berkenaan daripada internet. – BERNAMA

Loading...