Bukan Berita Online Biasa

Polis Sahkan 24 Maut Dalam Kebakaran Pusat Tahfiz

Polis Sahkan 24 Maut Kebakaran Pusat Tahfiz

in Terkini

KUALA LUMPUR – Semua 24 mayat yang ditemui di tingkat paling atas pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar pagi ini dalam keadaan rentung dan bertindih antara sama lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata mayat ditemui​​​​​ di dua kawasan berasingan di tingkat yang menempatkan 36 pelajar, di bangunan tiga tingkat itu.

“Siasatan mendapati keadaan 24 mayat rentung dan bertindih antara satu sama lain akibat kebakaran itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian pagi ini.

Amar Singh juga berkata pusat tersebut hanya mempunyai satu pintu keluar masuk dan menyebabkan sebahagian penghuni terperangkap serta gagal menyelamatkan diri.

Keadaan tingkap di madrasah berkenaan juga tidak mempunyai aspek keselamatan yang membolehkan ia digunakan untuk kecemasan.

Kebakaran dipercayai bermula di bahagian pintu masuk tersebut.

Amar Singh berkata seramai 14 pelajar dan empat guru yang sama menghuni di pusat berkenaan terselamat dalam kejadian itu.

Kesemua pelajar lelaki itu berumur antara 13 hingga 17 tahun.

Katanya daripada 14 yang diselamatkan, enam mengalami kecederaan kritikal dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Semua mayat akan dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara untuk tujuan pengecaman oleh anggota keluarga dan bedah siasat.

Katanya polis juga sedang menyiasat dakwaan pusat tahfiz tersebut beroperasi tanpa permit.

Pusat tahfiz itu mempunyai 36 pelajar dan enam guru yang menginap di pusat tahfiz berkenaan.

Seramai 22 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Ujung, di sini, pada 5.15 pagi tadi. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top