Singapura Sasar Lebih Banyak Pungutan Pingat

in Terkini

SEPANG – Pasukan Singapura menyasarkan untuk meningkatkan pungutan tujuh pingat emas di Myanmar tiga tahun lalu, pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (APG) yang dijadual pada 17 hingga 23 Sept.

Chef de Mission (CDM) pasukan itu, Shirley Low berkata selepas semua kerja keras semasa fasa persediaan, kesemua atlet amat bermotivasi memandangkan pada edisi kali ini mereka membawa kontinjen terbesar dengan sejumlah 90 atlet yang akan bersaing dalam 11 jenis sukan.

“Kami ada 90 atlet yang benar-benar teruja untuk memulakan APG dan memandangkan ini adalah kontinjen terbesar, kami menjangkakan untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap jenis sukan bagi memperbaiki pungutan tujuh pingat emas yang kami raih pada 2014.

Saya rasa para atlet telah berlatih bersungguh-sungguh. Saya sangat kagum dengan disiplin mereka kerana saya telah meninjau setiap sukan semasa latihan dan mereka sangat teruja untuk datang ke Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas ketibaan pasukan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Shirley berkata 21 daripada 90 atlet, adalah muka baharu dan mereka akan membuat kemunculan buat pertama kali pada temasya sukan dwitahunan tahun ini.

Beliau berkata, selain berpeluang merasai suasana persaingan antarabangsa, APG juga merupakan platform terbaik untuk semua peserta mendapat pengalaman berharga yang memberi impak positif dalam perjalanan hidup mereka sebagai atlet.

“Sudah tentu, ia memberi pengalaman baharu buat mereka dan temasya sukan ini sangat baik untuk pembangunan mereka sebagai seorang atlet untuk bersaing di platform antarabangsa pada masa depan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Tags: