Bukan Berita Online Biasa

Sistem Pengajian UPNM Mungkin Dirombak

Sistem Pengajian UPNM Mungkin Dirombak

in Jenayah/Terkini

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan sedia menimbang untuk merombak sistem pengajian Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam mengatasi masalah buli, susulan kejadian dera sampai mati Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 1 Jun lepas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau memandang serius mengenai isu tersebut dan mahu melihat UPNM dan Akademi Latihan Ketenteraan mengambil sikap bertanggungjawab dengan sebarang kejadian yang berlaku.

“Kita perlu lihat kembali sistem yang sedia ada, kalau ada keperluan untuk rombak kita akan rombak. Kita juga tidak boleh bersikap lepas tangan dan tidak melakukan apa-apa jika tidak, mangsa yang telah mati itu akan sia-sia sahaja.

“Saya terbuka untuk menerima sebarang cadangan, dan jika ada saya akan pertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program perjumpaan bersama Setiausaha UMNO bahagian di sini, hari ini.

Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lepas, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan pada 22 Mei lalu.

Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap.

Susulan kematian Zulfarhan Osman, lima penuntut UPNM dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Seorang lagi didakwa bersubahat membunuh mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman serupa.

Sementara itu, 13 lagi penuntut universiti berkenaan dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan untuk mendapat pengakuan palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Loading...
Tags:

Terkini dari Jenayah

Go to Top