Bukan Berita Online Biasa

Suami Isteri Ditahan Edar Dadah Di Kota Tinggi

in Jenayah/Terkini

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata serbuan dilakukan pada 7.10 pagi semalam itu berjaya menahan pasangan berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan dan wanita Indonesia, masing-masing berusia 35 dan 44 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis menjumpai 756 gram heroin, 7.58 gram syabu dan 104 biji erimin 5. Kami juga merampas sebuah kenderaan jenis Honda Odyssey bernombor pendaftaran Singapura.

“Anggaran nilai rampasan semua dadah itu mencecah RM9,000. Hasil siasatan awal mendapati rumah yang diserbu itu adalah peninggalan bapa suspek lelaki yang sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahsmon lagi, pihaknya percaya suspek lelaki itu mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki yang datang ke Felda berkenaan yang bekalan terbabit akan dijual di sekitar Felda Aping dan Kuala Sedili.

Hasil semakan terhadap suspek lelaki mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes dadah termasuk pengedaran dan memiliki dadah manakala isterinya tiada rekod jenayah lampau.

“Suspek lelaki juga didapati positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing dan wanita itu pula didapati negatif,” katanya.

Menurut Ahsmon, suspek lelaki yang bekerja di kebun sawit dan isterinya sebagai pembantu restoran kini ditahan reman tujuh hari sehingga 18 Ogos ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top