Bukan Berita Online Biasa

Sultanah Pahang Saksikan Koleksi Raya 'Lewre Gorgeous Lush'

Sultanah Pahang Saksi Koleksi Raya ‘Lewre Gorgeous’

in Gaya Hidup/Terkini

SHAH ALAM – Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom berangkat menyaksikan koleksi Hari Raya kasut hasil rekaan syarikat tempatan, Lewre Bespoke.

Majlis previu ‘Lewre Bespoke Gorgeous Lush Collection’ yang berlangsung semalam merupakan hasil kerjasama antara Lewre Bespoke dan Tanah Aina Café, terletak di Batu Tiga, di sini.

Koleksi kasut itu diilhamkan daripada hutan hujan Malaysia dan perkongsian kedua-dua pihak itu bertujuan memberi penghargaan kepada alam sekitar selain mempromosi tentang kepentingan untuk memelihara hutan hujan di negara ini.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengasas Lewre Bespoke, Datuk Lewre Lew berkata beliau mendapat ilham untuk menghasilkan rekaan koleksi terbaharu Lewre ketika melakukan senaman paginya di taman.

“Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa 10 peratus daripada hasil jualan Lewre Gorgeous Lush akan disalurkan kepada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA). Saya harap menerusi saluran ini, Lewre boleh membantu mewujudkan kesedaran berkaitan kepentingan memelihara alam semula jadi,” katanya.

Hasil jualan untuk disalurkan kepada PEKA berakhir pada 30 Jun ini.

Sementara itu, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil daripada Tanah Aina Café, yang juga Presiden PEKA, berkata kerjasama itu bertujuan mempromosi kesedaran tentang pemeliharaan alam sekitar.

“Sebagai penaung Lewre Bespoke yang setia, usahawan dan ‘pencinta alam’, saya dapati kesemua ciri ini berada di tempatnya dalam mewujudkan kesedaran terhadap penjagaan alam semula jadi, sebab itulah saya amat gembira bekerjasama dengan Lewre untuk menggalakkan kesedaran dalam pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Siri Gorgeous Lush akan dijual kepada orang ramai mulai 20 Mei ini di butik Lewre yang terletak di Gardens Mall, Mid Valley Megamall di sini. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top