Bukan Berita Online Biasa

Pemilik Kedai Runcit Didakwa Sembunyikan Minyak Masak

Syarikat Didenda RM500,000 Kerana Miliki Gelung Paip Palsu

in Terkini

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pembekalan paip pembinaan didenda RM500,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan memiliki 815 gelung paip palsu, dua tahun lepas.

Hakim Harmi Thamri [email protected] mengenakan denda itu ke atas Syarikat Twins W Piping Supplies Sdn Bhd selepas dua pengarah wanita syarikat itu, Chiam Lee Li, 41, dan Chang Mai Kuan, 41, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan.

Hakim memerintahkan syarikat itu membayar denda secara lima kali ansuran iaitu sebanyak RM100,410 pada setiap kali bayaran bermula hari ini sehingga 27 Okt ini.

Beliau turut memerintahkan wakil syarikat itu dihukum penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama, 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua dan 24 bulan bagi pertuduhan ketiga.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, syarikat itu didakwa memiliki paip palsu untuk pembekalan jenama Timur P.A Pipe seolah-olah barangan itu tertakluk kepada cap dagangan berdaftar Timur P.A Pipe.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan 1/38F, Taman Aman Segambut di sini pada 3 petang hingga 5.30 petang, 1 Okt 2014.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 8 (2) (c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2) (A) yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang dagangan palsu dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda sehingga RM30,000.

Ia juga didakwa di bawah Seksyen 8 (2) (c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2) (B) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Ketika rayuan mengurangkan hukuman, syarikat itu yang diwakili peguam Ahmad Zahid Abu Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda dengan alasan syarikat tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain pengakuan bersalah telah menjimatkan masa mahkamah.

Peguam itu juga memohon mahkamah membenarkan bayaran denda secara ansuran kerana ia melibatkan jumlah yang tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kes melibatkan ‘cap dagangan tempatan’ yang perlu diberi perlindungan. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top