Bukan Berita Online Biasa

Khairy Jamaluddin

Korporat Perlu Main Peranan Agenda Negara Bersukan

in Sukan/Terkini

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, meminta sektor korporat supaya memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan.

Beliau berkata sektor korporat mempunyai ruang dan platform yang sangat luas untuk merealisasikan harapan itu, supaya menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia aktif bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Usaha kita untuk jayakan agenda menjadi sebuah negara bersukan tidak akan menjadi satu kenyataan sekiranya kita tidak mendapat kerjasama daripada sektor korporat. Mereka perlu bersama-sama menjayakan usaha ini untuk kepentingan bersama.

“Negara bersukan bukan hanya bermaksud ramai bermain sukan, tetapi sebenarnya ia merangkumi satu gaya hidup yang sihat dan menjadikan rakyat Malaysia menjadi lebih cergas dan sihat,” katanya ketika melancarkan ‘Bina Darulaman Berhad (BDB) Triple Challenge 2017’ di sini, hari ini.

Menurut Khairy, dengan meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan, riadah dan fizikal, risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, obesiti dan sakit jantung yang sememangnya popular di Malaysia, dapat dikurangkan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff berkata edisi kedua ‘BDB Triple Challenge’ itu bakal memberikan cabaran dan halangan yang lebih sukar berbanding edisi sulung tahun lalu.

“Dengan penukaran acara maraton kepada rakit tahun ini, ia bakal menyaksikan cabaran yang berlainan. BDB Triple Challenge merupakan satu daripada cara kami untuk mempromosikan keindahan negeri Kedah kepada orang ramai menerusi acara sukan,” katanya.

Acara pertama, iaitu ‘BDB Climb and Run Langkawi’ akan berlangsung pada 22 April ini, diikuti acara ‘BDB Extreme Jitra’ pada 23 Sept dan ‘BDB Rafting Kulim’ di Sungai Sedim pada 18 Nov, iaitu peserta yang menyertai ketiga-tiga acara ini akan mendapat anugerah khas daripada penganjur. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Sukan

Go to Top