Bukan Berita Online Biasa

Tidak Boleh Sesuka Hati Turap Jalan Raya – Datuk Bandar KL

in Terkini

KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib kesal dengan laporan sebuah portal berita pada 8 Disember lalu yang mendakwa beliau menghalang insiatif sekumpulan sukarelawan mahu menurap jalan di ibu negara.

Beliau menegaskan kenyataan itu tidak tepat kerana larangan tersebut dilakukan kerana kualiti turapan semula jalan di ibu negara perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya tiada niat untuk menghalang atau menghentikan amalan kerja-kerja sukarela yang dilakukan oleh pihak terbabit. Namun memandangkan kerja-kerja pembaikan jalan tanggungjawab DBKL maka tidak wajar ia dilakukan oleh pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Phesal berkata, banyak jalan-jalan di Kuala Lumpur terlibat dengan kerja-kerja menaik taraf utiliti seperti kerja-kerja pembentungan, penanaman kabel dan pemasangan paip air mengakibatkan permukaan jalan terbabit tidak sempurna.

Menurutnya, DBKL hanya akan dapat melaksanakan kerja-kerja penurapan semula jalan dengan lebih sempurna dan kemas setelah kerja-kerja menaik taraf utiliti tersebut selesai sepenuhnya.

Sehubungan itu, katanya, DBKL tidak menggalakkan mana-mana pihak persendirian mengambilalih kerja-kerja penurapan jalan terlibat bagi memastikan kualiti turapan semula jalan adalah mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh DBKL.

Beliau turut menjelaskan, kepesatan pembangunan dan pelaksanaan projek-projek mega di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada kerosakan permukaan jalan akibat aktiviti-aktiviti lori dan jentera berat yang digunakan untuk tujuan itu.

“Faktor cuaca ketika ini yang sering hujan juga penyumbang kepada kerosakan jalan yang agak kerap Bagi memastikan kualiti dan tahap kerja penurapan jalan mengikut spesifikasi dan piawaian, DBKL telah melantik Institut Kerja raya Malaysia (Ikram) bagi menilai kualiti kerja-kerja kontraktor penurapan jalan yang dilantik oleh DBKL,” katanya. – mynewshub.cc

Loading...
Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top