Bukan Berita Online Biasa

TPM Ucap Takziah Pemergian Allahyarham Adenan

in Terkini

BEIJING – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang dikenalinya adalah seorang yang tegas dalam tindakan, namun ada ketikanya beliau sedia mengambil sikap fleksibel dalam mengadaptasi perubahan untuk kebaikan.

“Beliau seorang yang lembut dalam percakapan tetapi tegas dalan tindakannya, lebih-lebih lagi ketika membuat keputusan. Bagaimanapun beliau fleksible dalam menerima perubahan dan menyesuaikan beberapa pendekatan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Sarawak tetapi juga Malaysia keseluruhannya,” kata timbalan perdana menteri semasa mengucapkan takziah atas kembalinya ke rahmatullah Adenan hari ini.

Beliau menganggap pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada negara, khususnya Sarawak, setelah Adenan memberikan sumbagan penting, dengan memperoleh kejayaan cemerlang pada pilihan raya negeri tahun lepas, dan ia adalah pencapaian yang cukup membanggakan.

“…saya bersama rakan-rakan lain (dalam Barisan Nasional) bertekad … segala aku janji dan komitmen kami kepada Sarawak, akan kami penuhi,” katanya dalam sidang media di bilik mesyuarat hotel penginapannya di sini.

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham Puan Sri Jamilah Anu, anak-anak dan keluarganya, serta seluruh rakyat Sarawak, di samping meminta rakyat Sarawak bertabah, menganggap ia sebagai takdir dan menerima perubahan kepimpinan yang akan berlaku.

“Secara peribadi saya kenali Allahyarham semasa beliau menjadi pemimpin peringkat persekutuan, malah semasa saya menjadi menteri pertahanan lagi saya telah kenali dia menerusi pelbagai program, terutama dalam memperkasa pasukan Rela di Sarawak ketika itu,” kata Ahmad Zahid.

“Saya harap semasa dalam tempoh sedih ini, saya minta keluarga Allahyarham bersabar, terima ia sebagai takdir, dan rakyat Sarawak dapat terima pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar, tak dapat diganti.

“Namun tiap yang datang pasti akan pergi juga, kena reda. Saya bagi pihak diri, ahli keluarga dan rakan-rakan ucapkan takziah,” katanya.

Ditanya mengenai lawatan beliau di Beijing ketika ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau telah bercakap dengan rakan-rakan di Sarawak dan mereka meminta supaya lawatan kerjanya di Beijing ketika ini diteruskan.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan mewakili kerajaan persekutuan untuk majlis pengebumian dan menziarahi,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top