Bukan Berita Online Biasa

UTM Hasilkan Produk Cegah, Rawat Denggi

in Terkini

JOHOR BAHRU – Hasil penyelidikan empat tahun, tujuh penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, akhirnya berjaya membangunkan produk kesihatan berasaskan formulasi minyak kelapa dara dan tiga tumbuhan herba bagi mencegah dan merawat penyakit bawaan denggi.

Ketua Penyelidiknya Dr. Harisun Yaakob berkata, produk yang dikenali sebagai Anti-D’NGue turut dipercayai mampu merawat virus Zika, setelah mengambil kira faktor vektor pembawa dalam kedua-dua kes adalah sama iaitu nyamuk Aedes.

“Kami memulakan kajian ini sejak 2012 dan dibiayai geran pendidikan universiti serta geran Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah Skim Geran Penyelidikan Asas berjumlah RM300,000.

“Kita telah menjalankan testologi dan ujian keberkesanan pada tahap dos yang sesuai terhadap haiwan makmal serta kira-kira 15 pesakit yang diserang denggi dan didapati mampu menghalang replikasi (penggandaan) virus denggi dengan menampakkan peningkatan platelet,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dr. Harisun berkata, disebabkan formulasinya yang selamat, produk berupa kapsul itu sesuai digunakan pelbagai golongan peringkat umur termasuk ibu mengandung sebagai suplemen kesihatan.

“Ketika ini, ia belum ada lagi dalam pasaran, namun saya bersedia berkongsi teknologi dan formulasi sekiranya terdapat industri yang berminat untuk mengkomersialkannya,” katanya juga pensyarah kanan Institut Pembangunan Bioproduk UTM.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk melakukan pengeluaran pertama pada bulan depan membabitkan sebanyak 500 botol bagi membantu pesakit yang menderita akibat jangkitan denggi.

Pada masa ini, ia dianggarkan berharga antara RM60 dan RM80 bagi 30 biji kapsul. Bagaimanapun, harga itu boleh berubah berdasarkan kepada kesukaran mendapatkan bahan mentah serta jumlah pengeluaran yang bakal dikeluarkan. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]s-Q_LO6q6rA[/wpdevart_youtube]

Loading...
Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top