Bukan Berita Online Biasa

2 Pasangan Pengantin 'Banjir' Bersanding Meriah

2 Pasangan Pengantin ‘Banjir’ Bersanding Meriah

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

MELAKA – Meskipun masih lagi bersedih ekoran banjir menimpa rumah mereka semalam, keceriaan jelas terpancar pada wajah dua beradik apabila majlis persandingan berlangsung meriah.

Malah acara untuk meraikan dua orang ‘raja sehari’ itu serentak bersama-sama dengan pasangan masing-masing hari ini, berlangsung meriah di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, di sini, menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, segala persiapan perkahwinan Muhammad Al Azim Hamzah, 26; dan Filzah Ghazali, 24; serta adiknya, Nur Syafiqah; 21, dan Nor Kamarul Zaman Kasim, 27, habis rosak ditenggelami air sedalam kira-kira 0.7 meter.

Kata Muhammad Al Azim, dia bersyukur kerana majlis persandingan mereka di perkarangan rumah saudaranya terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal berjalan lancar walaupun kesuntukan waktu serta ruangan agak terhad.

“Ditambah lagi dengan keadaan cuaca panas sepanjang hari ini, saya cukup bersyukur apabila majlis kami adik-beradik berlangsung cukup meriah dan dibantu ramai saudara mara serta jiran tetangga.

“Berbanding semalam, memang sukar digambarkan dengan kata-kata, selain seharian sibuk pindah barang setelah pelamin dan khemah untuk majlis persandingan tenggelam. Mujur hari ini semuanya berjalan lancar,” katanya.

Adiknya, Nur Syafiqah, berkata dia bersyukur dan terhutang budi dengan semua pihak terutama penduduk kampung yang sanggup bergotong-royong bahkan membantu melancarkan majlis persandingan itu.

“Memang rasa letih lagi kerana sejak semalam sibuk menguruskan banjir. Tetapi melihat kehadiran ramai tetamu serta bantuan diterima menambahkan kegembiraan pada hari majlis bersejarah saya ini,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Hamzah Ismail, 57, berkata dia adalah orang yang paling gembira sebaik dapat melihat kedua-dua anaknya bersanding serentak hari ini walaupun diduga dengan kejadian buruk semalam.

“Majlis persandingan mereka akhirnya berjalan cukup mudah. Saya bersyukur mendapat bantuan pelbagai pihak, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang hadir petang semalam untuk menjenguk nasib kami.

“Selepas selesai majlis ini, barulah fikir untuk membersihkan pula rumah yang ditenggelami air,” katanya. Dalam kejadian banjir kilat itu, segala persiapan majlis persandingan rosak ditenggelami air sedalam hampir satu meter.

Ia susulan hujan lebat berterusan selama kira-kira empat jam bermula jam 2 pagi, semalam. Hujan lebat yang melanda negeri ini turut menyebabkan ratusan penduduk dipindahkan di sembilan pusat pemindahan.

Ia melibatkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin. Bagaimanapun keadaan hari ini dilaporkan kembali normal dan ramai penduduk dibenarkan kembali ke rumah masing-masing. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top