Bukan Berita Online Biasa

Abou Bakar Al-Mel Sah Milik Pasukan Kelantan

in Sukan/Utama & Sensasi

KOTA BHARU – Penyerang skuad kebangsaan Lubnan, Abou Bakr Al-Mel sah milik pasukan Kelantan bagi menggantikan penyerang import yang juga rakan senegaranya, Mohammed Ghaddar yang menyertai kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata penggambilan pemain import berusia 24 tahun itu juga untuk memenuhi kuota pemain import Asia yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada setiap pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Kami menandatangani kontrak bersama pemain ini juga bersesuaian dengan kekosongan posisi dan faktor prestasi ketika mewakili negara dan kelabnya sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Abou Bakr yang sebelum ini beraksi bersama kelab AC Tripoli dalam liga negaranya dikatakan mempunyai ketajaman penyudah seperti Mohammed Ghaddar.

Usaha membawa tenaga import baharu tersebut adalah bagi memperkuatkan pasukan Kelantan yang juga dikenali sebagai The Red Warriors dalam menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Annuar berkata Abou Bakr akan beraksi bersama Kelantan sehingga 2018 bagi membantu memperkuatkan serangan pasukan itu.

“Saya yakin beliau boleh menjadi bintang baharu kepada pasukan dan saya berharap barisan kejurulatihan serta pemain dapat membantu beliau menyesuaikan diri,” katanya.

Annuar berkata pemain itu mungkin diturunkan pada perlawanan Kelantan menentang Pulau Pinang dalam saingan Liga Super, di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, 24 Mei ini.

Sementara itu, berkaitan isu tunggakan gaji yang dihadapi KAFA, setiausaha agungnya, Datuk Ismail Md Noor berkata pihaknya yakin akan dapat menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

“Kita menunggu sumbangan daripada penaja dan bayaran perpindahan Mohammed Ghaddar dari JDT bagi menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM700,00 hingga RM800,000,” katanya.

Beliau berkata KAFA amat komited menyelesaikan masalah tunggakan gaji itu namun mereka bergantung kepada sumber daripada penaja. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Sukan

Go to Top