Bukan Berita Online Biasa

"Amiel Sempat Minta Maaf Dan Bagi Surat"- Ibu Mangsa

“Amiel Sempat Minta Maaf Dan Bagi Surat”- Ibu Mangsa

in Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Suasana pilu kini dirasai di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini sejak awal pagi Khamis.

Kesemua ahli keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat sedang sabar menanti proses bedah siasat kesemua jenazah yang ditempatkan di sana.

Pihak media difahamkan bahawa hanya ahli keluarga sahaja yang dibenarkan pihak polis untuk berada di dalam unit forensik HKL bagi tujuan pengecaman dan tuntutan jenazah.

Norhayati Khalid, merupakan ibu kepada salah seorang mangsa kebakaran, Ameil Ashraff Abd Rasid, 11, ketika ditemui tidak dapat menahan sebak apabila mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Semalam saya jumpa dia, saya bagi dia makanan semua dan dia suka belajar kat sini. Dia baru tiga bulan tapi dah dapat sesuaikan diri dan seronok dengan kawan dan cikgu,” katanya ketika ditemui Mynewshub di pusat tahfiz tersebut.

"Amiel Sempat Minta Maaf Dan Bagi Surat"- Ibu Mangsa
Norhayati Khalid, merupakan ibu kepada salah seorang mangsa kebakaran, Ameil Ashraff Abd Rasid, 11 tahun.

Dikatakan bahawa adik Amiel sempat menulis satu surat terakhir buat kedua-dua ibu bapanya dan mereka tak sangka bahawa semalam adalah kali terakhir mereka berjumpa dengan Amiel.

Dalam surat tersebut Amiel telah meluahkan rasa berterima kasihnya terhadap kedua-dua orang tuanya.

“Lepas saya peluk dia, saya cium dia, dia kata ‘ibu, nah ni surat’. Saya patutnya jumpa dia Jumaat ni tapi tak sangka semalam kali terkahir saya dapat jumpa dia.

“Dia selalu doakan saya dan suami. Dia selalu kata dia sayangkan kami dan dia sering buat solat hajat untuk kesejahteraan kami. Tak sangka semua ni jadi,” kata Norhayati lagi.

Lebih sedih lagi bila Amiel sering memberitahu kepada Norhayati dan suaminya, bahawa dia sangat berterima kasih kepada mereka kerana memasukkannya ke sekolah tahfiz.

Katanya apabila sudah belajar di sekolah tahfiz, dia dapat bantu kedua-dua ibu bapanya untuk mudah masuk ke syurga.

“Suami bagi tahu pukul 7 lebih tadi waktu saya tengah kerja yang tahfiz anak terbakar. Tapi waktu tu kami tak tahu keadaan anak macam mana lagi,” kata Norhayati lagi dengan penuh rasa sedih. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah

Loading...

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top