Bukan Berita Online Biasa

Api Terlalu Marak, Penduduk Telah Cuba Sedaya Upaya

in Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Keadaan api marak menyebabkan kepayahan bagi orang awam untuk bantu menyelamatkan pelajar yang masih terperangkap dalam bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, pagi tadi.

Penduduk tempatan yang membantu hanya dapat masuk ke pintu masuk asrama sahaja kerana bahang yang sangat kuat dan api yang marak ketika itu.

Seorang penduduk tempatan, Babul Amir, 21, telah meluru masuk ke dalam bangunan tersebut dan cuba menarik keluar pelajar yang berada di tingkat dua bangunan tersebut.

“Saya lari naik tangga lepas dengar jeritan mereka minta tolong tapi bahang api terlampau marak. Waktu tu saya nampak dua pelajar dah terbaring atas katil.

“Saya cuba untuk masuk lagi tapi pihak bomba minta saya turun dengan segera kerana keadaan sangat bahaya,” katanya ketika ditemui oleh pihak media.

Muhd Ridzuan Abdullah, 21, yang juga rakan kepada Babul berkata bahawa ketika itu dia juga berada di tangga bangunan itu dan ternampak beberapa serpihan bumbung telah mula runtuh.

“Saya cuba untuk masuk dalam asrama tu tapi serpihan bumbung pula runtuh dan menghalan saya untuk terus ke sana.

“Sedih hati saya bila nampak dua orang pelajar terbaring dalam asrama, tapi saya gagal untuk bantu mereka keluar,” katanya dengan rasa sedih.

Seorang pemandu yang lalu di kawasan itu, Baharuddin Sudin, 48, dikatakan menyedari kebakaran itu pada pukul 5.15 pagi. Waktu itu dia hanya mendengar bunyi jeritan daripada pelajar di tingkat dua.

Mangsa dikatakan cuba untuk memecahkan cermin tingkap dan memanjat keluar menggunakan saluran aip yang ada di tepi bangunan sekolah tersebut.

“Saya cuba untuk bantu mereka, tapi gagal… Apa yang buatkan saya tambah kesal ialah bila bunyi jeritan mereka minta tolong tiba-tiba senyap lebih kurang lima minit lepas asap hitam keluar,” katanya.

Manakala, seorang kontraktor, Shahirman Shahril, 39, berkata bahawa dia dan beberapa lagi penduduk setempat menjerit dan suruh mangsa untuk lompat ke bawah. Namun, hanya tiga hingga empat orang sahaja yang berjaya lompat keluar.

“Saya dan penduduk cuba menyambut mereka di bawah, namun disebabkan ketinggian tingkat berkenaan, sukar untuk kami sambut mereka. Mereka melecur dengan teruk.

“Masih terngiang-ngiang bunyi jeritan meminta tolong mereka. Saya sungguh sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah

Loading...

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top