Bukan Berita Online Biasa

AS Perlu Nilai Balik Ibu Negara Israel Baitulmaqdis

in Politik/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat perlu menilai semula keputusannya untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini berkata keputusan itu akan menamatkan segala usaha ke arah menyelesaikan masalah berkaitan rakyat Palestin.

“Ia akan memberi kesan amat buruk bukan sahaja kepada keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan, tetapi turut menyemarakkan sentimen, sekali gus semakin menyukarkan usaha memerangi keganasan.

“Malaysia menegaskan bahawa Baitulmaqdis adalah teras kepada perjuangan rakyat Palestin dan meminta kesemua negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu supaya tidak mengiktiraf sebarang perubahan dalam persempadanan pra 1967, termasuk yang berkaitan dengan Baitulmaqdis,” menurut kenyataan itu lagi.

Wisma Putra berkata sebarang percubaan untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, mewujudkan atau memindahkan perwakilan diplomatik ke bandar itu dianggap sebagai pencerobohan bukan sahaja terhadap Arab dan umat Islam, tetapi juga melanggar hak umat Islam serta penganut Kristian.

“Ia juga melanggar hak kewarganegaraan penduduk Palestin, termasuk hak mereka untuk menentukan sendiri masa depan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dahsyat, termasuk resolusi Majlis Keselamatan yang relevan, iaitu Resolusi No. 252 (1968), 267 (1969), 465, 476 dan 478 (1980) dan terkini, Resolusi 2334 (2016).

“Mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel bukan dibuat berdasarkan realiti, sebaliknya suatu pernyataan sokongan kepada dasar Israel, lebih kepada perbuatan melanggar undang-undang antarabangsa. Besar kemungkinan ia tidak betul,” kata Wisma Putra. – BERNAMA

Loading...
Tags:

Terkini dari Politik

Go to Top