Bukan Berita Online Biasa

Bakal Pengantin Hilang Lepas Keluar Rumah

in Jenayah/Utama & Sensasi

TINGGAL dua minggu lagi Nur Zulaika Abdul Hamid melangsungkan perkahwinannya namun apa yang menimbulkan tanda tanya gadis itu ‘hilang’ selepas keluar dari rumah pada Jumaat lalu.

Nur Zulaika keluar dari rumahnya di Kampung Geting, Tumpat, Kelantan, untuk pergi ke pasar di pekan Geting bagi mencari barang keperluan bersama dengan seorang rakan perempuannya, kira-kira jam 9 pagi.

Namun gadis berusia 20 tahun itu dikatakan tidak pulang ke rumah selepas beberapa jam ke pasar berkenaan.

Menurut kakak iparnya, Siti Nor Fazuani Abdullah, 27, gadis itu bakal melangsungkan perkahwinan pada 28 November ini dengan lelaki pilihan hatinya.

“Dia keluar dengan kawan perempuan bernama Sarah Ibrahim yang berusia 17 tahun dan difahamkan, apabila tiba di pasar pagi itu, mereka berpecah.

“Sarah memberitahu Nur Zulaikha menyatakan mahu mencari baju dan mereka berjanji untuk berjumpa di satu tempat di pasar berkenaan selepas selesai membeli barang masing-masing.

“Ketika itu juga, Nur Zulaikha tidak membawa telefon bimbitnya,” katanya dipetik portal Harian Metro.

Tambah Siti, Sarah menunggu Nur Zulaika di tempat yang dijanjikan selama dua jam, namun gadis itu tetap tidak muncul, membuatkan dia memaklumkan hal itu kepada mereka.

“Kami sekeluarga cuba mencari Nur Zulaikha dan menjejakinya di tempat yang biasa dikunjunginya tetapi tidak menemuinya.

“Kami bimbang keselamatannya, apatah lagi di keluar rumah begitu sahaja. Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Pengkalan Kubor pada Sabtu lalu,” katanya.

Difahamkan Nur Zulaikha baru saja menetap di kampung selepas berhenti kerja di sebuah kilang di Melaka demi menguruskan hal perkahwinannya.

Gadis itu juga sudah menyelesaikan semua urusan dokumentasi perkahwinan termasuk melakukan ujian HIV pada Khamis lalu.

“Jika diikutkan, pada petang Jumaat hari kehilangan, dia sepatutnya bersama keluarga kami ke Rantau Panjang untuk mengedarkan kad jemputan perkahwinannya.

“Malangnya kejadian ini pula berlaku dan kami berharap tiada perkara buruk yang terjadi,” katanya.

Justeru, ahli keluarganya memohon orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi mereka di talian 019-7261719. – MYNEWSHUB.CC

*Video bawah sekadar hiasan…

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top