Bukan Berita Online Biasa

Bunyi Dan Bau Gas Punca Seorang Pelajar Terjaga

Bunyi Dan Bau Gas Punca Seorang Pelajar Terjaga

in Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Remaja lelaki berusia 15 tahun ini sebak menceritakan detik cemas ketika kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi tadi.

Muhd. Izzaruddin Roslan berkata ketika kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi itu, boleh dikatakan kesemua pelajar sedang nyenyak tidur di tingkat tiga bangunan tersebut.

Bagaimanapun ujarnya, bunyi dan bau gas yang kuat secara tiba-tiba adalah punca mereka terjaga daripada tidur.

Ekoran itu, apabila menyedari akan perkara tersebut mereka bergegas mengejut rakan-rakan yang lain namun terdapat juga beberapa orang pelajar yang dikatakan masih tidak bangun.

Kemudian, mereka membuka semua tingkap bagi mengeluarkan asap-asap tebal yang terkumpul dalam bilik berkenaan.

“Bising lah… Kitorang nak keluar dan buka tingkap semua biar asap keluar. Pintu depan tak boleh buka,” katanya ketika ditemui Mynewshub.

Muhd. Izzaruddin memberitahu, ketika kejadian berlaku api marak dikatakan bermula daripada depan pintu bilik dan telah membakar semua katil pelajar.

“Api bemula dekat depan pintu dan katil semua dah terbakar. Api besar,” katanya.

Tambahnya lagi, kesemua mereka cuba untuk menyelamatkan diri melalui tingkap namun gagal kerana jeriji di bilik berkenaan tidak boleh dibuka daripada dalam.

Bagaimanapun, katanya dia berjaya menyelamatkan diri melalui sebuah tingkap yang kebetulan berada di sebelah penjuru belakang bangunan dengan bergayut.

“Pintu depan tak boleh buka. Jadi keluar ikut tingkap yang belah hujung kanan. Saya gayut,” terang Muhd. Izzaruddin yang turut terkejut dengan insiden tragik itu.

Seramai 22 pelajar dan 2 orang guru telah dilaporkan menjadi mangsa ketika kejadian. Kesemua mangsa dikatakan ditemui dalam keadaan yang rentung. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura

Loading...

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top