Bukan Berita Online Biasa

Buta Huruf, Tapi Jual Budu Sampai China!

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

LELAKI ini tidak tahu membaca, menulis atau menggunakan telefon bimbit namun bagi Mat Ismail Jusoh, 66,itu tidak menghalang cita-citanya untuk menjadi usahawan berjaya.

Nekad untuk mengubah nasibnya, lelaki yang berasal dari Pengkalan Kubu, Kelantan ini mula menjual budu buatannya sendiri pada tahun 1980 dengan bantuan ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Dengan kekurangan wang modal dan peralatan ketika baru memulakan perniagaannya, Ismail bergantung sepenuhnya kepada rezeki Yang Maha Esa dan berusaha sekuat kudratnya bagi memastikan perusahannya itu mendapat sambutan.

“Bukan mudah untuk berniaga apabila kita buta huruf. Saya tidak pernah bersekolah tetapi saya yakin Allah s.w.t. akan melimpahkan rezeki kepada hambaNya jika dia berusaha keras.

“Itulah yang saya lakukan. Pada 20 tahun pertama, saya benar-benar susah. Namun dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya dapat lihat masa depan saya kian cerah,” katanya kepada New Straits Times ketika ditemui di Ekspo China-Asean 14 (Caexpo), di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kini, Ismail boleh tersenyum bangga kerana bukan sahaja produk budunya sudah terjual di seluruh negara, malah budunya kian popular di China!

Kata Ismail, dia tidak menyangka produknya mendapat sambutan yang begitu menggalakkan di negara itu, namun tetap bersyukur.

Masakan tidak, meskipun baru pertama kali menyertai eskpo seperti itu, namun Ismail berjaya menjual 300 dozen unit budu!

“Selain daripada budu, saya juga menghasilkan sos ikan. Saya sangat gembira hari ini kerana terdapat sebuah francais restoran menunjukkan minat untuk membeli sos ikan keluaran syarikat saya untuk kegunaan restoran-restoran mereka di China.

“Selain itu, terdapat sebuah lagi syarikat yang berminat untuk mengimport sos ikan saya,” tambah Ismail penuh kesyukuran.

Kata Ismail lagi, ramai yang pada mulanya mempertikaikan kebolehannya oleh kerana dia tidak berpelajaran. Namun siapa sangka, dia kini mampu berjaya dengan hasil usahanya.

Menurut bapa kepada 8 orang anak ini, dia percaya kesabaran adalah kunci kejayaan.

Sebenarnya, kejayaan Ismail ini bukanlah mengejutkan kerana dia mempunyai visi yang merentasi garis masa dalam strategi pemasaran produknya.

Rata-rata daripada kita tentu tahu tentang kewujudan satu produk budu dalam tiub seperti ubat gigi, kan?

Sebenarnya, itulah di antara produk paling laris keluaran syarikat Ismail!

Budu yang dipakejkan sebegitu mudah dibawa melancong dan isi padu bawah 100ml juga memastikan produk itu mengikut peraturan cecair di atas kapal terbang.

Baru-baru ini, Ismail telah menjadi penerima hadiah Anugerah Inovasi Agro Bank bernilai RM15,000.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pertanian Dan Asas Tani, Datuk Shabery Cheek pada 12 September lalu.

Kejayaan Ismail ini memberi inspirasi dan pengajaran kepada generasi muda kini bahawa kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan kepercayaan kepada percaturan Ilahi. – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top