Bukan Berita Online Biasa

Chef Wan Dilantik Sebagai Profesor Adjung UUM

in Artis/Utama & Sensasi

SINTOK – Chef terkenal, Datuk Redzuwan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan dilantik sebagai Profesor Adjung Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) berkuat kuasa 1 Februari lepas.

Beliau menerima watikah pelantikan bagi tempoh dua tahun bermula 1 Feb lepas hingga 31 Jan 2019 daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir, disaksikan Naib Canselor UUM, Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, di sini hari ini.

Mohamed Mustafa berkata pemilihan Chef Wan, 51, dibuat berdasarkan pengalaman, kepakaran serta kesesuaian bidang masakan yang diceburi beliau serta dilihat dapat berkongsi pengalaman dengan pensyarah dan pelajar.

“Pemilihan tersebut adalah langkah meningkatkan kecemerlangan ilmu pengetahuan bagi memenuhi keperluan perancangan akademik STHEM,” katanya pada majlis Sambutan Hari Pengasasan ke-33 UUM dan perasmian Restoran Manager’s Coffee di sini.

Chef Wan memiliki ijazah dalam Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academy di San Francisco, Amerika Syarikat.

Di peringkat antarabangsa, beliau telah dinobatkan sebagai ‘Selebriti Chef Terbaik Dunia’ di ‘World Gourmand Cookbook and Media Awards 2009’ selain menerima gelaran ‘Friends of Thailand Award’ pada 2010 daripada kerajaan Thailand. – BERNAMA

Loading...
Tags:

Terkini dari Artis

Go to Top