Bukan Berita Online Biasa

Dekati Islam Mulai 2014 - Dennis Muhammad

Dekati Islam Mulai 2014 – Dennis Muhammad

in Utama & Sensasi

JOHOR BAHRU – Dennis Muhammad Abdullah, bakal suami Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, mula mendekati agama Islam sejak tahun 2014.

Pemuda kelahiran Belanda berusia 28 tahun itu berkata ketika pulang ke Amsterdam, beliau banyak mendapatkan pandangan serta nasihat rakan-rakan Muslim di sana mengenai Islam termasuk meminta mereka membawanya ke masjid.

“Ini kerana saya mahu melihat serta mendengar sendiri bagaimana cara mereka bersembahyang di masjid selain mendapatkan nasihat daripada mereka mengenai ajaran Islam yang turut dipelajari dalam bahasa Belanda,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office (RPO) di sini hari ini.

RPO merupakan pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor.

Dennis Muhammad yang memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru itu, banyak membaca pelbagai bahan rujukan mengenai Islam dalam internet selain sering pergi ke masjid untuk bersembahyang.

Menurut beliau, setelah mendapat restu Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk berkahwin dengan Tunku Tun Aminah, beliau kemudiannya dititah oleh Tuanku untuk mempelajari agama Islam secara mendalam.

“Saya mula mengikuti kelas fardu ain dan cuba menghafal surah-surah yang pendek dalam al-Quran sejak awal tahun ini. Sebelum ini, saya sudah pun menjalani ibadah puasa secara penuh setiap bulan Ramadan sejak 2015 dan sering ke masjid untuk menunaikan solat tarawih.

“Bukan itu sahaja, saya juga tertarik untuk mengenali dan mempelajari bahasa Jawi. Pada masa yang sama, saya mendapat banyak nasihat daripada golongan yang pakar dalam agama Islam supaya tidak tergesa-tergesa, tetapi sebaliknya mendalami ilmu agama secara perlahan,” kata Dennis Muhammad.

Beliau mengikuti nasihat itu supaya dirinya benar-benar menjadi seorang Muslim yang baik dan tahu segala perkara termasuk bersembahyang.

“Hati saya terbuka untuk menerima Islam kerana saya dapat rasai lebih banyak ketenangan dalam diri saya. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat mengikuti segala pembelajaran dengan sempurna tanpa apa-apa halangan atau rintangan.

“Malah, ibu bapa saya juga banyak memberi sokongan serta tiada halangan daripada mereka untuk saya memeluk Islam,” katanya.

Selain itu, beliau bersyukur kerana mendapat perkenan Sultan Johor dan Permaisuri Johor. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top