Bukan Berita Online Biasa

dUCk Cosmetics 'Baby' Baharu Vivy Yusof

dUCk Cosmetics ‘Baby’ Baharu Vivy Yusof

in Artis/Utama & Sensasi

RAMAI yang menjadikannya sebagai idola kerana kejayaan yang telah dikecapi pada usia muda. Vivy Sofinas Yusof, nama yang sering kali meniti di bibir-bibir anak muda kini.

Kejayaannya dalam bidang fesyen selama tujuh tahun telah mendorong syarikat kelolaannya, Kumpulan dUCk mengeluarkan jenama kosmetik sendiri iaitu, dUCk Cosmetics.

Apa yang lebih membanggakan ialah dUCk Cosmetics juga telah membuka sebuah kedainya sendiri pada 2 September lalu di pusat beli belah eksklusif, Pavilion Kuala Lumpur.

Malahan ini merupakan kedai kosmetik jenama tempatan pertama yang bertapak di Malaysia.

Menurut pengasas bersama Kumpulan dUCk, Vivy mahu menjadikan jenama ini sebagai gaya hidup masyarakat Malaysia. Bukan sekadar terkenal dengan jenama tudungnya sahaja.

“Saya tidak mahu mengehadkan dUCk kepada segmen tudung sahaja, tetapi segmen lain seperti ‘home and living‘ dan ‘travel’.

“Saya yakin dUCk ada potensi untuk menjadi jenama bertaraf antarabangsa,” katanya dipetik laporan Astro Awani.

Pelancaran dUCK Cosmetics dilaksanakan selepas mengambil masa selama setahun setengah menjalankan kaji selidik dan sebagainya.

“Ia merupakan proses yang lama bagi kami kerana ia melibatkan penyelidikan dan pembangunan.

“Saya tahu persaingan dalam industri kosmetik juga sangat tinggi, maka saya amat menekankan pembungkusan yang baik,” ujarnya.

Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata ini, produk kosmetiknya dijamin halal dan sedang dalam proses untuk mendapatkan sijil halal. Tambahnya, produk ini juga menepati tahap piawaian tertinggi Kesatuan Eropah (EU).

Disebabkan ada pihak yang mempertikaikan jenama tempatan, Vivy dan kumpulannya telah mengambil pertikaian itu sebagai pendorong untuk menjadikan dUCk sebagai jenama yang dikenali dengan kualitinya yang bagus.

“Saya banyak mendengar orang mempersoalkan kualiti jenama tempatan, dan berkata mereka tidak pernah melihat jenama tempatan ini di pusat beli belah.

“Jadi saya mahu buktikan bahawa jenama tempatan juga setanding dengan jenama antarabangsa.

“Saya sangat bersyukur dengan pihak Pavilion kerana beri kepercayaan kepada dUCk Cosmetics membuka kedai di sini dan saya harap ia memberi inspirasi kepada usahawan lain,” tambahnya.

Kini, dUCK Cosmetics dalam proses untuk mengeluarkan lagi produk kecantikan yang lain seperti pemerah pipi dan lain-lain.

Diharapkan jenama dUCk mampu menjadi kebanggan Malaysia di pentas antarabangsa. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

Loading...

Terkini dari Artis

Go to Top