Bukan Berita Online Biasa

Durian

Durian Kebun Cikgu Wei Lagi Hebat Malah Murah

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

KUALA NERUS – Tidak seperti di tempat lain, harga durian Musang King cecah RM90 sekilogram, tetapi pemilik kebun di Kampung Lingai di Tepoh, di sini, menawarkannya di bawah harga pasaran iaitu kurang RM50 sekilogram.

“Harga durian Musang King di kebun saya mengikut budi bicara. Paling mahal dijual pada harga RM50 sekilogram walaupun kebanyakan harga pasaran sekarang mencecah RM90 sekilogram,” kata Ismail Tawang, 70.

Ismail atau lebih mesra dipanggil Cikgu Wei berkata, dia menanam pelbagai jenis durian di kebunnya seluas lapan hektar sejak 35 tahun lalu.

Menurutnya, ada 50 pokok pelbagai jenis durian termasuk Musang King, Udang Merah, D101, Monthong, Cheni dan terbaru Duri Hitam.

“Alhamdulillah, usaha saya menanam pokok durian selama ini berbaloi kerana sekarang ia membuahkan hasil dan permintaannya tinggi.

“Saya tidak pernah jangka harga durian meningkat seperti sekarang. Saya rasa bertuah dan keputusan menanam durian 35 tahun lalu memang tepat,” kata bekas guru Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin itu.

Cikgu Wei berkata, dia tidak terlalu memikirkan keuntungan ketika menjual durian walaupun menghabiskan RM10,000 setahun termasuk proses membaja.

“Saya mahu beri peluang kepada semua orang terutama yang kurang berkemampuan merasa durian gred tinggi dengan harga murah berbanding harga pasaran.

“Tidak mengapa walaupun tidak dapat untung banyak seperti orang lain, asalkan gembira melihat pelanggan membeli dengan hati riang,” katanya.

Menurutnya, dia juga mempunyai durian kampung termasuk durian yang dikacuk sendiri melalui teknik tertentu sehingga menghasilkan sejenis gred durian baru yang dipanggil durian Cikgu Wei (CW) dalam kalangan pelanggannya.

“Sepokok durian CW itu mampu menghasilkan 200 buah dan tidak pernah mencukupi kerana ia diminati ramai pelanggan, melebihi permintaan terhadap Musang King.

“Isi durian CW itu tidak kuning seperti Musang King atau Udang Merah, tetapi kualiti isinya lebih sedap daripada Musang King atau Udang Merah,” katanya.

Menurutnya, memandangkan terlalu banyak permintaan diterima terhadap durian CW, dia menyemai dan menanam lebih banyak pokok itu di kebunnya.

“Keenakan CW menyebabkan ada petani dari Thailand datang mempelajari dan mendapatkan anak pokok berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pelanggan Cikgu Wei, Mohd. Nor Ismail, 43, dari Kampung Felda Belara berkata, dia berpuas hati dengan durian dijual di kebun itu.

“Bukan saja murah, tetapi paling penting ia berkualiti. Sekiranya durian itu dijual lebih mahal pun ia wajar dibeli kerana kualitinya.

“Pada mulanya saya berniat membeli Musang King, tetapi apabila merasa CW, saya ubah keputusan membeli CW yang dijual pada harga RM30 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, inisiatif Cikgu Wei menjual durian gred A pada harga murah wajar dipuji kerana secara tidak langsung memberi peluang kepada peminat durian menikmati raja buah itu pada harga rendah. – myMetro Online

Loading...
Tags:

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top