Bukan Berita Online Biasa

Hentikan ‘Pembunuhan Karakter’ Terhadap UMNO

in Politik/Utama & Sensasi

“CUBA azankan telinga dia. Lepas tu bagi dia borang UMNO…”

Itu antara komen nakal yang akan ditulis netizen antikerajaan selepas sesuatu isu dimuat naik pada mana-mana media sosial seperti Facebook atau Instagram.

Adakalanya isu yang dibincangkan tidak ada kena mengena langsung dengan politik atau kerajaan pun, namun ayat-ayat seperti itu akan tetap timbul di ruangan komen.

Selalunya akaun-akaun palsu yang giat meninggalkan komen yang bukan-bukan (bersifat anti-UMNO dan kerajaan) di merata tempat. Itu kaedah lama yang masih digunakan sehingga kini.

Namun, apa lebih berbahaya kini dan semacam tidak disedari mana-mana pihak adalah kewujudan pelbagai macam komen dan lawak jenaka berkaitan UMNO dan kerajaan yang berlegar di media sosial dan pelbagai aplikasi.

Ia lawak yang bersifat memperlekehkan kerajaan. Makin ada isu panas seperti harga minyak naik, makin banyak bahan propaganda berbentuk lawak jenaka akan mula muncul di WhatsApp, Facebook dan lain-lain tempat.

Antara medium penyebaran fitnah yang paling aktif untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ialah aplikasi sembang atas talian, WhatsApp.

Hampir semua kita menggunakan WhatsApp dan semua kita pernah menerima jenaka dan bahan lawak sama ada  dalam bentuk tulisan, poster atau video pendek dalam group yang kita sertai.

Sekadar berkongsi lawak, bahan-bahan sinis seperti itu kemudian forward pada group dan rakan-rakan lain. Akhirnya ia tersebar merata alam.

Daripada mana titik kemunculan lawak-lawak ini? Siapa yang menjadi tukang fikir? Idea siapa? Siapa tukang grafik? Pastinya ia bukan turun tiba-tiba dari langit.

Rasanya ia direka oleh tentera siber DAP dengan niat semata-mata mahu merendahkan dan seterusnya memusnahkan imej UMNO dalam kalangan rakyat kebanyakan.

Mereka tahu orang Melayu suka benda yang ringan dan jenaka, justeru kaedah penyebaran bahan lawak dengan motif menjahanamkan UMNO begitu giat dihasilkan dan disebarkan.

Hasilnya, hari ini kita melihat UMNO yang begitu besar jasanya kepada negara dan bangsa Melayu semakin dipandang ‘bangsat’ oleh Melayu sendiri.

Ironi, bangsa yang dibantu UMNO sehingga kaum lain menyampah pada parti itu akhirnya bersikap menghina UMNO itu sendiri.

Semua ini datang daripada satu bentuk character assassination (pembunuhan watak) yang sedang dilakukan tentera DAP di alam maya dalam pelbagai pendekatan dan gaya.

Ia satu bentuk mind setting yang dilakukan secara perlahan-lahan tetapi menyentuh hati dan sanubari semua orang. Lawak jenaka yang mudah di forward melalui WhatsApp, WeChat, YouTube dan macam-macam lagi.

Sifat bahan yang disebarkan ialah ia tidaklah serius atau berat tetapi ringan dan mudah difahami (atau mudah untuk dijadikan modal ketawa).

Namun kesannya, Mak Munah jual goreng pisang kat Kodiang yang selama ni tak pernah nak ambil pusing pasal politik kini mempunyai persepsi yang sangat buruk pasal UMNO dan kerajaan.

Pondan-pondan, maknyah lorong pun sekarang kenal UMNO tetapi bukan parti keramat Melayu yang banyak jasa tetapi parti yang bodoh, korup dan dipenuhi badut.

Budak sekolah rendah pun kenal UMNO, tetapi UMNO yang sudah barai imejnya.

Semuanya melalui pembunuhan karakter terhadap imej UMNO menggunakan medium penyebaran moden bersama kandungan yang bersifat jenaka dan ringan.

Tentera siber DAP sudah hampir berjaya ke tahap menjadikan sesiapa yang menerima atau rapat dengan UMNO sebagai loser atau orang tua bodoh yang tidak tahu apa yang berlaku.

Orang kini semacam malu nak kaitkan diri dengan UMNO. Macai, dedak dan macam-macam lagi label yang ada dalam pemikiran rakyat di luar sana bila bercakap pasal UMNO.

Dulu character assassination hanya dibuat pada calon masa pilihan raya kecil atau umum.

Kemudian pendekatan yang sama terhadap ahli politik dibuat melalui media-media milik pembangkang.

Namun ia kini bukan lagi bertumpu kepada orang yang ada dalam parti itu, tetapi ke atas parti itu sendiri. UMNO dijadikan najis dalam pemikiran orang ramai.

Kini aplikasi seperti WhatsApp disendatkan bahan jenaka menjadi kaedah baharu yang sedang membunuh imej UMNO dalam kalangan semua lapisan rakyat negara ini.

Pendekatan itu umpama api dalam sekam yang sedang membakar dan memusnahkan secara senyap. Sebenarnya ia sudah sampai ke peringkat menjadi barah pun.

Malangnya tiada siapa pun di peringkat parti atau kerajaan yang sedar taktik yang sedang diguna pakai ini.

Satu Hala (penulis) berharap akan ada mana-mana perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur kini mengetengahkan isu ini.

Kalau anda yang baca ini kenal mana-mana pembahas usul, mohon beritahu kepada khalayak pemimpin UMNO agar bertindak segera memberhentikan character assassination terhadap imej parti yang begitu lantang dibuat kini.

Gunakan semua mekanisme dan kepakaran yang ada bagi memberhentikan apa yang sedang berlaku ini.

Jangan ambil mudah, akal kita adalah satu benda yang merbahaya. Sekali ia sudah dibentuk dengan pandangan dan imej yang pelik, sukar untuk ia diperbetulkan kembali. – MYNEWSHUB.CC

Oleh: Satu Hala

Loading...

Terkini dari Politik

Go to Top