Bukan Berita Online Biasa

Hina Islam: Ahok Bakal Dihukum Penjara Setahun

in Jenayah/Utama & Sensasi

JAKARTA – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaya Purnama hari ini dikejutkan dengan gesaan hukuman selama setahun susulan kes beliau menista agama Islam.

Pihak pendakwa raya Indonesia dalam perbicaraan di Mahkamah Negeri Jakarta Utara di sini meminta supaya tertuduh dipenjara 12 bulan atas tuduhan penghinaan agama ketika berkempen sekitar September tahun lalu.

Basuki, 50, yang mesra disapa sebagai Ahok dibicarakan hari ini, tidak sampai 24 jam selepas keputusan awal tidak rasmi menunjukkan beliau tewas mengejut dalam Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) Jakarta pusingan kedua.

Beliau yang merupakan etnik Cina beragama Kristian kalah kepada pesaingannya, Anies Baswedan, dalam cubaan untuk mengekalkan jawatan disandangnya sejak 2014, buat penggal kedua sebagai gabenor ibu kota Indonesia itu.

“Kami menggesa supaya hakim dapat menjatuhkan hukuman penjara selama setahun ke atas defendan kerana menyuarakan kebencian atau hina sebahagian rakyat Indonesia,” kata Ketua Pendakwa Raya, Ali Mukartono.

“Kami juga menggesa supaya dia diletakkan di bawah tempoh pemerhatian selama dua tahun,” kata beliau. Ini bermakna, sekiranya Ahok mengulangi semula kesalahannya dalam tempoh dua tahun, beliau akan dipenjarakan.

Perbicaraan di auditorium Kementerian Pertanian di Jakarta Selatan itu turut dicemari tunjuk perasaan apabila ramai berang dengan hukuman ringan yang tidak setimpal dengan kenyataan Ahok mempermainkan ayat al-Quran.

Beberapa badan Muslim tempatan, khususnya kumpulan tegar, mulanya berasa tersinggung dengan kenyataan biadab Ahok itu ketika berkempen di Pulau Seribu di sini menjelang pusingan pertama Pilkada pada 15 Februari.

Baca: Ahok Tumbang, Anies Bakal Gabenor Baharu Jakarta

Hina Islam: Ahok Bakal Dihukum Penjara Setahun

Ini menyaksikan siri demonstrasi anti-Ahok diadakan setiap minggu tetapi hari ini, mereka membantah cadangan pihak pendakwa raya kerana lazimnya pesalah kes seumpama itu boleh dihukum penjara maksimum lima tahun

Ratusan anggota pergerakan Islam tegar, Front Pembela Islam berhimpun di luar mahkamah sambil melaungkan “tidak cukup” setelah pihak pendakwa raya mengemukakan permohonan mereka pada hari ke-20 perbicaraan.

Ahok namun menafikan tuduhan itu dan keputusan dijadual dibuat dalam masa beberapa minggu akan datang. Aktivis hak asasi manusia turut menyuarakan kebimbangan tentang undang-undang penistaan agama di Indonesia.

Ia biasanya digunakan pendakwa raya untuk ‘tekan’ kumpulan minoriti bukan Islam tempatan meskipun republik itu mengamalkan perlembagaan sekular di sebalik imej Indonesia ialah negara paling ramai umat Islam di dunia.

Ahok mencipta rekod sebagai bukan Islam pertama memegang jawatan itu dalam tempoh 50 tahun selepas kali terakhir Gabenor DKI Jakarta disandang penganut Katholik, Hendrik Hermanus Joel Ngantung pada 1964 lalu.

Kes Ahok menyaksikan trend pengundi majoritinya beragama Islam ‘beralih’ kepada lawannya, Anies, 47, yang lebih disenangi ramai kerana latar belakang sebagai cucu pejuang kemerdekaan Indonesia, Abdurrahman Baswedan.

Anies yang juga bekas menteri pendidikan dan kebudayaan dalam Kabinet Jokowi pada 2014; pernah melakar sejarah sebagai rektor termuda apabila menerajui Universiti Paramadina dalam usia 38 tahun pada 2007 lalu.

Dalam pada itu, Ahok hanya ada baki enam bulan menyandang jawatan gabenor Jakarta sebelum penggantinya dijangka mengangkat sumpah sebagai ketua eksekutif baharu ibu kota republik itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top