Bukan Berita Online Biasa

Hisap Rokok Di Filipina, Kena Hukum Penjara

Hisap Rokok Di Filipina, Kena Hukum Penjara

in Gaya Hidup/Jenayah/Utama & Sensasi

MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menandatangani arahan eksekutif pengharaman merokok di tempat awam dan mengenakan penjara terhadap mereka yang jual rokok berhampiran sekolah.

Undang-undang antirokok yang dianggap paling tegas di Asia itu mengenakan denda terhadap orang ramai yang ditangkap merokok di kebanyakan tempat awam.

Peniaga yang menjual rokok dalam lingkungan 100 meter dari kawasan sekolah dan lokasi kanak-kanak berkumpul juga berdepan hukuman penjara.

Duterte yang berkuasa pada tahun lalu berjanji untuk menguatkuasakan larangan merokok dalam usahanya meningkatkan kesihatan penduduk.

Pemimpin itu juga berjanji mengenakan sekatan terhadap pusat karaoke yang beroperasi pada waktu malam dan larangan minum arak di tempat awam selepas jam 2 pagi, namun ia belum dikuatkuasakan.

Jurucakap jabatan kesihatan, Eric Tayag berkata, lokasi sebenar tempat awam yang dilarang merokok itu akan diumumkan kemudian dan arahan eksekutif itu bakal menjadi undang-undang dalam tempoh 60 hari.

Arahan eksekutif itu menerangkan kawasan awam yang dilarang merokok adalah tempat tertutup yang mempunyai bumbung dan sekurang-kurangnya satu dinding.

Ini bermakna semua bangunan awam termasuk kilang, pejabat dan pasar raya adalah kawasan larangan merokok.

Merokok juga diharamkan di semua bentuk pengangkutan awam di negara itu.

Menurut arahan itu, mereka yang ditangkap merokok di kawasan larangan boleh didenda 500 peso (RM43.50) untuk kesalahan pertama dan meningkat hingga 10,000 peso (RM870) bagi kesalahan ketiga.

Peniaga yang menjual produk tembakau di kawasan larangan boleh dihukum penjara tiga tahun.

Duterte adalah bekas perokok tegar dan dia sebelum ini pernah berkata, larangan itu bersifat peribadi kerana dia pernah mengalami pelbagai penyakit akibat tabiat buruk itu. – AFP/myMetro Online

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top