Bukan Berita Online Biasa

Israel Haram Warga Asing Anti-Zionis Masuk Negara Itu

in Politik/Utama & Sensasi

TEL AVIV – Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang melarang warga asing memasuki negara haram Yahudi itu, jika mereka secara terang-terangan menyokong kempen anti-Zionis.

“Sejak beberapa tahun ini, banyak kempen dilakukan secara agresif untuk boikot Israel dan ia semakin menjadi-jadi,” menurut Parlimen Israel menerusi laman sesawangnya setelah undang-undang itu diluluskan pada Isnin.

Jelas kenyataan Parlimen tersebut: “Nampaknya ia seperti garisan hadapan baharu dalam peperangan terhadap Israel, apabila sehingga kini negara ini masih belum lagi bersedia untuk menangani isu itu dengan sepenuhnya.”

Pelbagai individu atau wakil kumpulan tertentu yang melancarkan usaha pemulauan Israel secara terbuka – kecuali warga Israel dan penduduk tetap; selepas ini tidak akan diberikan visa masuk, menurut undang-undang tersebut.

Tidak jelas bilakah dasar baharu itu akan dikuatkuasakan, tetapi undang-undang imigresen itu ada menyebut kes pengecualian masih boleh diberikan atas pelbagai pertimbangan termasuk mengambil kira faktor keselamatan.

Lazimnya warga asing yang ingin memasuki Israel akan disaring di setiap pintu masuk dan mereka yang didapati pernah membuat catatan berbaur anti-Zionis waima menerusi media sosial bakal diusir pulang ke negara asal.

Israel Haram Warga Asing Anti-Zionis Masuk Negara Itu

Kecuali Mesir, Jordan dan Turki, lebih 20 buah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk Malaysia, tiada hubungan diplomatik dengan Israel serta tegas menghalang rakyat daripada memasuki negara itu.

Bagaimanapun, kelonggaran tetap diberikan atas pertimbangan agama dengan kebenaran khas imigresen terutama penganut Kristian dan Muslim yang berhasrat menziarahi kawasan suci agama masing-masing di sekitar Israel.

Undian lulus dengan 46 sokong berbanding 28 menentang, sekali gus menyaksikan beberapa anggota pembangkang Israel menyatakan, adalah lebih baik untuk melibatkan para pengkritik dalam penggubalan peraturan berkenaan.

Undang-undang baharu kontroversi tersebut menurut pembangkang, akan memberi peluang kepada kumpulan anti-Zionis untuk melancarkan serangan terhadap kawasan pendudukan haram Yahudi dan kepentingan Israel sendiri.

Rejim Zionis itu sudah lama mengutuk keras kumpulan-kumpulan asing tertentu seperti gerakan BDS yang mahu memencilkan Israel susulan pelbagai dasar diskriminasi zalimnya terhadap warga Palestin sejak lebih 70 tahun.

Rundingan damai antara pemerintah Israel dan pihak berkuasa Palestin menemui jalan buntu pada 2014 lalu waima rejim Yahudi itu enggan mengiktiraf kedaulatan jirannya sebagai negara merdeka. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Terkini dari Politik

Go to Top