Bukan Berita Online Biasa

Istiadat Pertabalan Agong: Memelihara Tertib & Makna

in Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Pada 24 April ini rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan adat istiadat penuh gilang-gemilang pertabalan Sultan Kelantan Tuanku Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Adat istiadat pertabalan agong yang dijalankan lima tahun sekali iaitu sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama Tuanku Abdul Rahman pada September 1957 tidak pernah diubah dari segi aturan mahupun peralatan kebesaran yang terlibat.

Menurut ahli akademik Datuk Dr Zainal Kling, istiadat pertabalan itu tidak diambil khusus daripada sesuatu negeri tetapi lebih kepada gabungan adat sedia ada yang akhirnya menjadi satu kaedah yang diguna pakai untuk negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa upacara pertabalan adalah satu proses yang biasa diadakan oleh kebanyakan institusi raja di seluruh dunia untuk mengangkat seseorang itu menjadi raja secara rasmi, dengan disaksikan seluruh rakyat.

“Pada umum prinsipnya adalah sama di mana-mana, malah untuk melantik presiden atau perdana menteri negara pun ada upacara khas.

“Pada zaman moden ini, dalam keadaan apapun, kebanyakan masyarakat masih lagi melaksanakan adat dan upacara tertentu kerana itu adalah satu tanda pengikhtirafan apabila kita letakkan seseorang pada kedudukan yang istimewa, iaitu sebagai pemimpin paling tinggi dalam negara.

“Keperluannya bagi kita ialah upacara (adat istiadat pertabalan agong) itu sebagai satu kelangsungan pada sistem kerajaan Melayu dan adat istiadat kerajaan Melayu,” jelasnya.

LAMBANG KEDUDUKAN DALAM NEGARA

Profesor Ramlah Adam, Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, menggariskan sebab-musabab mengapa adat istiadat ini sangat penting untuk dipelihara dan maknanya pada negara.

Menurut beliau, selain memenuhi peruntukan Perlembagaan, prosedur pertabalan itu adalah lambang kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi negara.

Istiadat khas yang diguna pakai sejak merdeka itu tidak diaplikasi kepada pemimpin lain iaitu raja-raja negeri atau gabenor.

“Sebagai kedudukan yang tertinggi seperti yang tertera dalam perlembagaan, maka mestilah ada adat istiadat yang bersesuaian dengan kedudukan itu untuk membezakan baginda dengan raja (negeri) dan jawatan yang lain,” katanya kepada Bernama.

BUKTI TAMADUN BANGSA DAN PERADABAN TINGGI

Menurut Ramlah, istiadat pertabalan yang diwarisi daripada adat raja-raja Melayu itu membuktikan bahawa Malaysia mempunyai teras tamadun tersendiri serta peradaban yang tinggi.

Jelas beliau, kewujudan Yang di-Pertuan Agong sendiri menunjukkan bahawa negeri-negeri Melayu yang membentuk Malaysia mempunyai sistem kerajaan yang mengangkat Sultan sebagai ketua dan tradisi ini diamalkan sejak dahulu lagi.

“Apabila kita kata Yang di-Pertuan Agong, maksudnya baginda datang daripada raja-raja Melayu yang memerintah negeri-negeri Melayu.

“Ia tidak sama dengan konsep khalifah yang lebih menyerupai perdana menteri.

“Konsep raja baginda mesti memiliki kawasan tanah, baginda mesti ada rakyat yang mengangkat baginda, patuh dan setia pada kepimpinan baginda, itulah konsep ke-RAJA-an kita sejak dahulu.

“Inilah teras tamadun kita,” hurai beliau. Selanjutnya beliau berkata adat istiadat itu menunjukkan bahawa bangsa Malaysia bukanlah suatu bangsa yang melakukan kerja secara cincai atau lebih kurang sahaja.

Aturan yang penuh tertib, santun dan sarat dengan pengertian tertentu itu, menonjolkan imej positif buat negara di mata dunia.

“Ia menunjukkan apabila kita buat sesuatu, kita ada tertibnya, prosedurnya, ada langkah yang wajar diikuti setiap zaman. Maknanya kita bukan manusia lekeh.

“Ini adalah imej kita sebagai bangsa yang bertamadun tetapi ini bukan berkenaan imej Melayu atau Malaysia sahaja ia juga melibatkan imej Islam,” tegas beliau.

MENGANGKAT NILAI KEMANUSIAN

Selain itu, dengan mengambil konsep kemanusiaan yang lebih luas, Ramlah berkata ketertiban adat yang dipelihara sejak zaman-berzaman itu menjadi satu petunjuk bahawa masih ada satu kelompok manusia yang mempertahankan peraturan serta nilai yang baik.

Mengambil contoh keadaan semasa, khususnya di Syria, yang disifatkan beliau sebagai medan pertembungan ego kuasa-kuasa besar, Ramlah berkata masyarakat dunia seperti sudah tidak lagi menghormati ketertiban dan nilai kemanusiaan.

Menurut beliau, pada zaman ini banyak pihak yang meletakkan nilai kewangan dan ego pada tempat yang lebih tinggi daripada nilai kemanusian.

Mereka menghalalkan kehendak sendiri dengan pelbagai alasan sehingga mengakibatkan ramai nyawa yang tidak berdosa terkorban.

Ramlah berkata di Malaysia masih ada pihak yang berada ada satu sistem tertinggi, yang mahu mengamalkan satu prosedur dengan nilai murni dan dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Apabila Yang di-Pertuan Agong mengangkat dan mencium Al-Quran itu menunjukkan baginda bertanggungjawab pada Allah dan rakyat untuk melaksanakan benda-benda yang betul yang mengikut Islam.

“Ini menunjukkan masih ada lagi manusia di dunia ini yang mahu mengekalkan peraturan yang baik, mahu mengamalkan nilai-nilai murni dan kemanusiaan dan tanggungjawab itu diambil oleh ketua negara kita,” katanya.

SISIPAN
‚Äč
TERTIB ISTIADAT PERTABALAN AGONG

Istiadat pertabalan Agong Malaysia dimulakan dengan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu “Raja Berangkat” yang mengiringi keberangkatan masuk Yang di-Pertuan Agong.

Barisan Diraja kemudiannya masuk ke Balairong Seri didahului Datuk Maharaja Lela beserta panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.

Kedua-dua Cogan Alam dan Cogan Agama adalah tongkat perak dan sebahagian alat kebesaran Diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia

Datuk Pengelola Bijaya Diraja akan membawa masuk senaskhah Al-Quran manakala pegawai Istana yang lain akan membawa Keris Panjang Diraja yang juga Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar serta diiringi paluan nobat lagu “Menjunjung Duli”.

Nashkah Al-Quran iaitu lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara kemudiannya dipersembahkan kepada Seri Paduka oleh Datuk Paduka Maharaja Lela.

Seri Paduka akan mencium Al-Quran dan meletakkan kitab suci itu di atas rehal.

Seterusnya Perdana Menteri akan membaca surat pengisytiharan yang ditulis jawi di atas kulit kambing.

Kemudian Datuk Paduka Maharaja Lela akan mempersembahkan Keris Kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong. Baginda akan menerima keris berkenaan, menghunus, mengucup dan menyarungkan semula keris itu sebelum diletakkan di hadapan nashkah Al-Quran tadi.

Ini diikuti titah ikrar baginda selaku Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Selesai warkah ikrar dibaca, nafiri ditiup dan lagu nobat “Raja Bertabal” akan dimainkan.

Datuk Maharaja Lela akan melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali yang diikuti oleh para hadirin; terdiri daripada Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri kabinet, Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, kerabat diraja Seri Paduka, wakil negara asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top