Bukan Berita Online Biasa

Jerit Minta Tolong, Keluar Ikut Saluran Paip

Jerit Minta Tolong, Keluar Ikut Saluran Paip

in Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Jeritan minta tolong, keadaan gelap gelita, asap dan bahang api adalah saat-saat getir dikongsi mangsa yang terselamat dalam kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini awal pagi tadi.

Menceritakan detik cemas pada 5.15 pagi itu, Muhammad Danial Amru Al-Haz Ali, 16, berkata pelajar terdesak menyelamatkan diri dengan cuba pecahkan pintu dan tingkap termasuk menggunakan saluran air untuk keluar dari bangunan.

“Kami sedang tidur di tingkat tiga. Tiba-tiba ada rakan yang menjerit “api-api” dan semua bergegas turun ke bawah namun pintu terkunci.

“Ada yang cuba memecahkan pintu, tingkap, jeriji besi. Saya larikan diri ikut saluran air dengan meniarap sehingga ke hujung bersama-sama rakan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur.

Insiden yang berlaku di bangunan tiga tingkat itu meragut nyawa 22 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu.

Muhammad Danial Amru yang berasal dari Negeri Sembilan berkata sebaik berjaya menyelamatkan diri, dia dan rakan-rakannya terus menjerit dan meminta tolong jiran berdekatan dengan pusat tahfiz tersebut.

Katanya api marak dengan terlalu pantas menyebabkan ada dalam kalangan rakannya yang tidak berjaya menyelamatkan diri dan rentung.

“Ia memang pantas. Saya memang tidak percaya ini berlaku. Saya terima dugaan Allah ini,” tambahnya yang masih trauma dan terkejut dengan kejadian tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam sidang media sebelum itu berkata semua 23 mayat yang ditemui di tingkat paling atas pusat tahfiz ditemui rentung dan bertindih antara sama lain.

Seramai 36 pelajar dan enam guru menginap di pusat tahfiz itu. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top