Bukan Berita Online Biasa

Kakitangan Hospital Dihukum Ibu Mengandung Bunuh Diri

Kakitangan Hospital Dihukum Ibu Mengandung Bunuh Diri

in Jenayah/Utama & Sensasi

DUA kakitangan hospital telah digantung tugas susulan kejadian seorang wanita muda membunuh diri dengan terjun dari tingkat lima sebuah hospital selepas tidak dibenarkan menjalani pembedahan caesarean untuk melahirkan anak

Mereka yang digantung tugas adalah individu yang bertanggungjawab terhadap hospital di Yulin, China itu, serta ketua gynaecologist.

Keputusan diambil selepas satu pasukan siasatan ditubuhkan.

Kejadian itu berlaku pada 31 Ogos lalu selepas wanita berkenaan, Ma Rongrong yang sedang mengalami kesakitan yang amat sangat, tidak dibenarkan oleh keluarganya untuk bersalin menerusi caesarean.

Mereka juga enggan menandatangani borang kebenaran bagi pembedahan terbabit. Mengikut undang-undang di China, pesakit perlu mendapatkan kebenaran waris sebelum pembedahan dijalankan.

Ketika itu, Ma dilaporkan mengandung 42 minggu. Video Ma sebelum dia membunuh diri, telah tersebar luas di China dan kejadian berkenaan telah mengejutkan ramai.

Pihak hospital sebelum ini mendakwa telah memaklumkan kepada keluarga Ma bahawa Ma berdepan dengan risiko jika melahirkan anak secara semula jadi disebabkan bayinya mempunyai `kepala yang besar’.

Bagaimanapun suami Ma, Yan Zhuangzhuang mendakwa bahawa doktor enggan melakukan pembedahan terhadap isterinya pada saat-saat akhirnya.

Dia juga memberitahu, dalam video berkenaan isterinya telah melutut di lantai kerana tidak dapat lagi menahan kesakitan.

Namun Huanqiu.com melaporkan bahawa pihak hospital dan keluarga Ma telah menyelesaikan perkara berkenaan.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan jumlah pampasan dengan syarat keluarga Ma tidak lagi mengadakan temubual dengan media.

Jumlah pampasan itu bagaimanapun tidak didedahkan. – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top