Bukan Berita Online Biasa

Kalaulah Benar Kita Serius Membasmi Rasuah

in Utama & Sensasi

PERJUANGAN SPRM mengintip, menjejak dan menyiasat latar penjawat awam yang disyaki satu perubahan besar dalam kempen memerangi rasuah. Ia langkah proaktif pada era, menantikan laporan sahaja tidak cukup untuk tindakan membasmi.

Tidak semua perasuah akan cuai dengan memilih gaya hidup mewah yang bakal mendedahkan diri pada syak. Apatah lagi selepas menyedari gerak-geri gaya hidup mereka kini diperhatikan. Walaupun beberapa lagi siri tangkapan besar akan dilakukan pada masa terdekat, kita yakin modus operandi pemberi dan penerima rasuah akan turut berubah secara drastik.

Rasuah ialah jenayah penjahat tegar. Ketamakan akan menjadikan manusia sebagai makhluk pintar yang licik dan strategik.

Akhirnya, kita akan kembali kepada formula asas: Rasuah memerlukan warga negara yang berani dan bertanggung jawab untuk membanterasnya. Sikap pasif masyarakat dalam menyalurkan maklumat akan menjadikan usaha menentang rasuah akan kembali tepu apabila penjenayah menukar taktiknya.

Hari ini kes rasuah di sektor awam adalah rahsia terbuka. Dari isu rasuah membabitkan pihak imigresen di pintu masuk utama negara yang memang selama ini telah disyaki – sampailah ke rasuah yang mengejutkan dalam isu penyelewengan pendaftaran paspot. Kita tidak menyangka, isu diklasifikasikan sebagai Orang Kurang Upaya, selama ini menjadi lubuk duit amalan pegawai imigresen.

Banyak kes rasuah terbuka diketahui umum. Cuma apakah kita berani membincangkannya secara terbuka? Dalam isu kenderaan awam umpamanya – kita sudah lama mendengar ia menjadi lubuk penyelewengan. Urusan lesen, urusan memperbaharui cukai jalan, urusan berkaitan geran kenderaan – sudah lama diperkatakan. Ia kes rasuah yang menjadi rahsia terbuka.

Banyak ulat atau runner hidup secara bebas di setiap cawangan yang agensi berkaitan dengan proses kenderaan. Pengguna tahu bahawa cara mudah untuk mendapatkan kelulusan ialah menggunakan khidmat runner.

Kalau tidak percaya, siasatlah kenyataan ini. Jangan siasat penulis dan portal yang menyiarkan realiti ini. Menyiasat orang yang bersuara hanya akan melemahkan lagi minat masyarakat untuk menyertai kempen anti rasuah secara proaktif.

Kita berharap dalam rancaknya usaha SPRM menyiasat, jabatan dan agensi yang berkaitan kenderaan juga berusaha membasminya secara dalaman. Khidmat runner tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa.

Contohnya, isu cermin gelap dalam penguatkuasaan meluluskan sebarang bentuk pertukaran yang membabitkan geran kenderaan. Ia isu rasuah yang membabitkan kos sekitar RM1000 bagi sekali urusan. Sedangkan kos sebenar hanya RM30 untuk pemeriksaan kenderaan dan RM100 untuk mengubah data geran.

Bagi pengguna yang memiliki kereta impot terpakai, mereka tiada pilihan. Walaupun kenderaan diluluskan untuk jualan, namun kenderaan yang sama akan digagalkan ketika proses lanjutan sekiranya membabitkan pemeriksaan ulangan.

Ia mencipta ruang perniagan bernilai puluhan ribu ringgit sebulan bagi runner dan kedai aksesori.

Kenapa? Kerana ulat membuat caj RM500 bagi upah menukar cermin gelap ke cermin cerah bagi proses pemeriksaan dan RM500 lagi bagi memproses geran. Ini pakej yang disediakan runner. Ini mencetuskan syak, apakah rasuah ini turut babitkan penjawat agensi?

Majlis Bandaraya yang menganjurkan acara bulanan bagi persembahan hiburan menyediakan bayaran antara RM1000 hingga RM1500 kepada artis yang mengambil bahagian. Namun, artis hanya menandatangani borang kosong ketika menerima token. Diberikan bayaran RM500 dan bakinya diambil orang tengah yang entah siapa. Barangkali penjawat awam atau barangkali ulat pentas yang dilantik.

Rumah kongsi projek pembangunan yang dipenuhi buruh asing, menyediakan wang perlindungan kepada banyak agensi. Ini bagi mengelakkan operasi. Atau pun menerima maklumat dalaman lebih awal sekiranya ada operasi.

Isu maklumat dalaman bukan rahsia di kalangan pengamal media. Banyak operasi strategik menyerbu pusat pelacuran dan mesin kuda menemui kegagalan kerana rahsia dibocorkan pihak penguat kuasa sendiri.

Kita boleh bergembira dengan kejayaan SPRM, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk memerangi rasuah! – mynewshub.cc

Loading...

Tags:

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top