Bukan Berita Online Biasa

Budak Lemas Di Kolam Tadahan Meninggal Dunia

Budak Lemas Di Kolam Tadahan Meninggal Dunia

in Utama & Sensasi

ALOR SETAR – Seorang lagi kanak-kanak yang lemas akibat terjatuh ke dalam kolam tadahan air di Kuala Nerang pada Khamis lalu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pagi tadi.

Muhammad Rusyaidi Mohamad Na’am, 5, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik HSB berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.24 pagi.

Ibu mangsa Kharuni Nan, 32, berkata dia sekeluarga reda dengan pemergian anak tunggalnya itu kerana doktor telah cuba sebaik mungkin menyelamatkan nyawa anaknya selepas jantungnya kerap terhenti malam tadi.

“Dia berada dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke hospital tiga hari lalu. Jadi kami reda dengan takdir selepas melihat keadaannya yang aktif sebelum ini tiba-tiba menjadi kaku dengan badannya dipenuhi dengan wayar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB hari ini.

Kejadian itu turut mengorbankan Nur Damia Nadhirah Shahruddin, 5, yang maut di tempat kejadian selepas ditemui lemas di dalam kolam sedalam 2.5 meter.

Kharuni yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata dia tidak menyangka perubahan sikap anaknya yang gemar menarik perhatiannya sejak kebelakangan ini merupakan petanda bahawa anak kesayangannya itu akan pergi buat selama-lamanya.

“Dia suka menyanyi dengan kuat bagi menarik perhatian saya dan apabila saya marah dia akan cepat memujuk dan akan terus mengambil hati hingga nampak saya tersenyum. Selain itu dia cukup berselera makan cucur durian seminggu sebelum kejadian sedangkan dia tidak suka buah durian atau hidangan lain yang menggunakan isi durian,” katanya.

Katanya jenazah anaknya itu dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Semeliang selepas solat Asar. – BERNAMA

Loading...
Tags:

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top