Kerajaan Tiada Hasrat Sekat Aplikasi Telegram

Kerajaan Tiada Hasrat Sekat Aplikasi Telegram

in Jenayah/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat penggunaan aplikasi Telegram di Malaysia pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun Indonesia telah mengharamkan penggunaan aplikasi Telegram kerana wujud unsur membabitkan keganasan, beliau berkata pemantauan setakat ini mendapati tiada sebarang elemen penyebaran unsur-unsur jenayah dan keganasan melalui Telegram di negara ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, menegaskan kerajaan menghormati hak peribadi pengguna di negara ini dan tidak berhasrat untuk mencampuri ‘chatting’ pengguna Telegram.

“Penelitian KDN (Kementerian Dalam Negeri) khasnya Unit Anti Keganasan dan Cawangan Khas PDRM mendapati bahawa aplikasi (Telegram) setakat ini tidak mengandungi unsur-unsur yang melibatkan berlakunya jenayah, jauh sekali daripada perbuatan merekrut atau untuk memperoleh dana bagi membiayai aktiviti keganasan,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Jakel Mall, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas tindakan kerajaan Indonesia pada Jumaat (14 Julai) yang menyekat aplikasi Telegram berikutan pendedahan ia digunakan antara lain untuk menyebar fahaman militan Daesh serta aktiviti keganasan lain.

Beliau berkata kerajaan akan melakukan pemantauan berterusan terhadap penggunaan aplikasi media sosial bagi mengesan kegiatan ke arah keganasan.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga mempunyai beberapa kaedah ‘decoding’ yang dipakai untuk memantau sebarang elemen keganasan Daesh, termasuk usaha penyebaran ideologi, merekrut ahli dan mendapatkan dana di dalam media sosial ataupun komunikasi tanpa talian.

Katanya pemantauan pihak berkuasa mendapati wujud penyebaran unsur-unsur keganasan melalui aplikasi lain seperti YouTube, WhatsApp dan Instagram. – BERNAMA

Loading...
Tags: