Bukan Berita Online Biasa

Kilang Haram: Exco Kerajaan DAP P.Pinang Ditahan SPRM

in Jenayah/Utama & Sensasi

GEORGE TOWN – Anggota exco kerajaan Pulau Pinang, Phee Boon Poh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Exco kanan kerajaan negeri pimpinan DAP itu, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sungai Puyu itu hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama peguamnya, R.S.N Rayer pada pukul 2.30 petang selepas pejabatnya di Tingkat 53, bangunan Komtar, di sini dikunjungi lima pegawai SPRM pada pukul 11.30 pagi.

Rayer ketika ditemui pemberita di luar pejabat SPRM negeri berkata Boon Poh kemungkinan akan dibawa ke mahkamah esok untuk didapatkan perintah tahanan reman.

“Buat masa ini apa yang saya tahu SPRM sedang menyiasat mungkin surat-surat yang dikeluarkan oleh YB (Yang Berhormat) (berkaitan kilang itu). Jadi, memandangkan beliau datang sendiri ke pejabat SPRM saya pun kurang pasti kenapa tiba-tiba ada arahan untuk menahan beliau,” katanya.

“Kami datang (ke pejabat SPRM) sebagai saksi untuk membantu siasatan. Kami sedang menunggu arahan seterusnya dan kami memohon supaya pihak SPRM membebaskan YB malam ini, mereka kata, mereka akan pertimbangkan,” katanya.

Baca: Kilang Haram – SPRM Serbu Pejabat Exco P.Pinang

Terdahulu, lima pegawai SPRM yang berada lebih sejam di pejabat anggota exco itu merampas beberapa dokumen dipercayai berkaitan dengan siasatan kes itu.

Semalam, SPRM mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sepasukan pegawai SPRM tiba di bangunan MPSP kira-kira 10.30 pagi dan beredar dari pejabat pihak berkuasa tempatan itu bersama beberapa dokumen kira-kira tiga jam kemudian.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang beroperasi sejak 10 tahun lepas dikatakan tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan ADUN Penanti daripada PKR Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top