Bukan Berita Online Biasa

Kisah Cinta Sejati Pengisi Alaf Ini

Kisah Cinta Sejati Pengisi Alaf Ini

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

PASANGAN bercinta atau suami isteri selalu percaya, mereka miliki cinta sejati. Perasaan inilah juga yang mengikat hubungan. Tak kisahlah: Kalau pagi ini sayang setengah mati, petangnya pula, benci bawa mati. Manusia sentiasa diburu perasaan mahu memiliki teman sejiwa dalam mood cinta sejati.

Dalam mitos lama wujud kata plasebo: Kuasa mitos yang percaya kalau kita berniat baik terhadap sesuatu, maka kita akan mendapat semangat kebaikannya.

Begitu juga sebaliknya nasebo: Kalau kita berniat jahat, kita akan mendapat pembalasan semangat jahatnya.

Cinta sejati diburu manusia sejak azali. Adam termakan buah khuldi kerana cintanya pada Hawa yang mengikat pesona. Ringkasnya – cinta sejati juga yang membawa leluhur manusia hadir ke dunia.

BACA: Meninggal Dunia 1st Anniversary – Ramai Sebak

Karya agung Romeo & Juliet, Samson & Delilah, malah Uda & Dara menjadi hebat kerana teks ini mengangkat nilai cinta.

Minggu ini netizen terharu membaca kisah cinta sejati Ahmad Kamal Effendi dan isterinya Nik Idzni Dalila Nik Mahmud. Kisah yang menitiskan airmata kerana cinta sejati terpancar dalam hayat perkenalan selama empat bulan dan hayat perkahwinan yang genap setahun cuma.

Nik Idzni Dalila wafat genap setahun perkahwinan. Lebih menyentuh rasa, Ahmad Kamal mengahwini kekasihnya setelah empat bulan berkenalan dan mengetahui gadis yang dicintainya itu menderita kanser buah pinggang tahap empat.

Cinta sejati tidak boleh dipaksa. Ia bukan kisah hero belanja pacar naik limosin. Atau post acah manja suami penuhi katil dengan seratus bunga pada isterinya. Atau aksi isteri menutup mulut acah terkejut dengan pengorbanan suaminya.

Cinta sejati bukan poster Instagram. Cinta sejati poster jiwa!

Ahmad Kamal lelaki luar biasa. Dia hero kita kerana mengajarkan betapa cinta sejati masih ada. Ia cinta seorang lelaki yang memberikan apa saja yang dimiliki untuk mengisi baki waktu dalam hayat kekasihnya.

2

Isteri seperti Nik Idzhi Dalila wanita bertuah. Walaupun hayatnya singkat, setahun dia nikmati cinta sejati. Dicintai sepenuh hati oleh suami yang tahu hayatnya di hujung perjalanan.

Kisah cinta ini menghapuskan episod eskapisme orang Melayu mengejar makna cinta di drama TV. Ia juga kisah real yang melenyapkan ilusi pemain cinta hipokrit yang mencari publisiti murah di IG.

Cinta sejati bukan poster. Snap & post. Bukan paparan aksi yang mahu menjadikan realiti IG sebagai ‘fantasi dalam realiti’.

Membaca catatan Ahmad Kamal, kita tahu dia hero muda yang faham makna cinta. Malah, dia melaksanakan secara realiti tulen atas kemahuan sendiri.

Mengahwini kekasih kanser tahap empat dan berusaha membahagiakannya, satu pengorbanan insan yang faham erti cinta dalam tafsiran menjadi manusia biasa.

Biarkan drama TV dan posting IG oleh pasangan mabuk cinta mengisi fantasi dalam realiti. Paling tidak, kisah cinta Ahmad Kamal dan Nik Idzni Dalila mengajarkan kita: Cinta sejati masih ada. Ia mewakili sekian banyak lagi momen cinta sejati yang wujud dalam diam. Serta tidak diposterkan secara hipokrasi di IG.

Kepada pencandu cinta sejati yang ala-ala poster di IG – banyak realiti yang anda perlu pelajari. Yang pertama: Cinta sejati tidak dinikmati melalui hipokrasi! – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Tags:

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top